Patung emas tertanam di Bukit Belimbing?

Batu besar atas Bukit Belimbing ini dipercayai pernah menjadi lokasi kapal dagang berlabuh.
A
A

HULU TERENGGANU - Bukit Belimbing terletak di Kampung Kuala Por mungkin tidak begitu dikenali sebagaimana Bukit Batu Kapal Kampung Gerdong, di daerah ini yang punyai mitos kapal bertukar menjadi batu.

Namun, bukit yang cuma berketinggian kira-kira 70 meter ini turut mencatat sejarah tersendiri sebagai laluan kapal pedagang suatu ketika dahulu selain dipercayai terdapatnya penemuan sebuah patung emas.

Seorang penduduk, Jusoh Hassan,78, berkata cerita tentang 'Jong Cina berlabuh' pernah menjadi perbualan hangat komuniti setempat di sekitar kampung itu selain turut menarik perhatian masyarakat luar.

"Berdasarkan cerita orang terdahulu, lebih ratusan tahun dulu kawasan ini asalnya ada sungai besar seperti lautan dan menjadi laluan kapal-kapal pedagang daripada Cina berlabuh sebelum teruskan perjalanan.

"Atas Bukit Belimbing terdapat satu batu besar dinamakan batu sauh yang menjadi penanda arah untuk kapal pedagang berlabuh serta tempat sauh di labuhkan. Batu ini dipercayai masih kekal sehingga sekarang tetapi berada dalam kawasan kebun sawit.

Jusoh
Jusoh

"Suatu hari, pedagang bernama 'Jong' mati setelah matanya tersangkut mata kail dan disemadikan di kawasan Bukit Belimbing. Zaman berubah, sungai besar dulu kini telah bertukar menjadi daratan.

"Masyarakat setempat usahakan pertanian di kawasan Bukit Belimbing ini sehinggalah seorang penoreh getah menemui satu patung emas yang tertanam dalam tanah. Namun penemuan itu tidak dihebohkan," katanya kepada Sinar Harian.

Jusoh berkata, individu yang mendakwa kewujudan patung emas itu telah pun meninggal dunia dan apabila cerita penemuan itu tersebar, Bukit Belimbing bagaikan bertukar pesta apabila orang ramai tidak lepaskan peluang 'memburu' patung emas.

Katanya, patung emas itu dipercayai ditanam bersama-sama pedagang bernama 'Jong' itu namun sejauh mana kebenaran cerita mengenai patung emas itu tidak dipastikan kerana dia sendiri mendengarnya daripada orang-orang terdahulu daripadanya.

"Setelah cerita tersebar masyarakat luar berpusu-pusu datang termasuklah pengamal perubatan seperti bomoh dengan misi mencari patung emas, namun tiada sesiapa berjaya menemuinya sehingga kini.

"Saya sendiri pernah juga suka-suka cari patung emas yang dikatakan itu tetapi tidak berhasil. Pokok besar dikatakan sebagai penanda juga telah tiada dan telah 'bertukar' menjadi kelapa sawit.

"Kawasan Bukit Belimbing kini berada di kawasan kebun hak milik individu perseorangan dan tidak boleh masuk tanpa kebenaran," ujar Jusoh yang mempunyai lima anak, 13 cucu dan enam cicit.

Cerita warga emas ini lagi, nama Bukit Belimbing dipercayai berasal-usul daripada sebatang pokok belimbing besar yang suatu masa dahulu berada atas puncak bukit namun kini telah dibangunkan rumah burung walit.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia