X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Brunei berkenan menerima menghadap Azmin

Paparan Twitter Azmin. - Foto Twitter @AzminAli
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, Brunei sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-73.

Mohamed Azmin memuat naik melalui Twitter gambar beliau mengadakan perbincangan dengan Sultan Brunei.

Mohamed Azmin menyifatkan pertemuan dengan baginda sebagai produktif sambil melahirkan keyakinan bahawa hubungan erat antara Brunei dan Malaysia kekal utuh.

“Menjunjung kasih KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perkenan menerima patik menghadap sempena Hari Keputeraan Yang Ke-73. InsyaAllah, hubungan erat Brunei dan Malaysia kekal utuh dan membawa kemakmuran kepada semua rakyat,” kata Azmin.

"Ya ALLAH, lanjutkan usia Baginda Sultan, kekal qarar memerintah negara," kata Mohamed Azmin yang hadir di Brunei bagi mewakili kerajaan Malaysia pada upacara sambutan keputeraan Baginda.

Melalui beberapa keping gambar yang dikongsikan, beliau bersama isteri, Datin Seri Shamshida Taharin turut menghadiri Majlis Istiadat Menghadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

Mereka berdua turut menyertai tetamu lain pada Majlis Istiadat Barisan Kehormatan yang berlangsung sempena hari keputeraan itu. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!