RM1.5b tuntutan GST diluluskan, belum dibayar sehingga 31 Mei 2018

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mendapati sejumlah RM1.5 bilion tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah diluluskan dan belum dibayar sehingga 31 Mei 2018.

Dapatan tersebut diperoleh dalam Laporan PAC Parlimen berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST yang berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut laporan tersebut, berdasarkan keterangan daripada JKDM, terdapat sebanyak RM9.6 bilion yang masih memerlukan semakan namun Ketua Pengarah JKDM mengesahkan lebih 90 peratus adalah tuntutan yang sahih.

PAC Parlimen juga mendapati sebanyak RM3.9 bilion pula tertakluk kepada semakan biasa, bukannya siasatan atau pengauditan; RM0.9 bilion sudah selesai dan perlu dibayar apabila MOF telah memberikan pelepasan kepada Mass Rapid Transit Corporation Bhd dan Prasarana Malaysia Bhd; dan RM3.5 bilion lagi memerlukan siasatan tapi tidak bermaksud tuntutan itu tidak berasas.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat kenyataan di Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2018 bahawa tunggakan tuntutan bayaran balik GST yang masih belum dibayar sejak tahun 2015 berjumlah RM19.4 bilion, manakala baki pada 31 Disember 2017 yang ada dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST hanya RM1.0 bilion sahaja.

Bagi melengkapkan siasatan terhadap prosiding ini, PAC Parlimen memohon pandangan Peguam Negara mengenai isu berkaitan pengurusan kutipan GST serta bayaran balik GST kepada pendaftar yang layak.

Menurut PAC Parlimen, Peguam Negara berpandangan amalan kerajaan yang memasukkan hasil GST terus ke Akaun Hasil Disatukan adalah melanggar prinsip asas undang-undang amanah dan keperluan perakaunan amanah.

Ia juga bercanggah dengan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Seksyen 54 Akta GST 2014, serta satu pengabaian kepada tujuan Seksyen 54 Akta GST 2014 yang merupakan jaminan bahawa pembayar cukai akan mendapat bayaran balik cukai sekiranya mereka layak.

Artikel Berkaitan:

PAC Parlimen berkata MOF dan JKDM berpendapat memasukkan hasil GST terus ke Akaun Hasil Disatukan adalah selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan, namun Peguam Negara menyatakan amalan tersebut menyalahi undang-undang.- Bernama