Rumah panjang terbakar, 167 penghuni tinggal sehelai sepinggang

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

SRI AMAN - Seramai 167 penghuni Rumah Lepang Sayat, Engkelili, Lubuk Antu tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kejadian kebakaran, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, dalam kejadian yang berlaku jam 1.48 petang itu, sepasukan 12 anggota dari Balai Penyelamat Sri Aman telah digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi kejadian, (pasukan bomba) mendapati rumah panjang dua tingkat, 26 pintu jenis separuh kekal itu hampir musnah dijilat api.

“Menurut Tuai Rumah, kebakaran awal yang bermula dari bahagian dapur itu cuba dipadamkan dengan menggunakan empat unit alat pemadam api namun gagal berikutan api merebak dengan cepat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tiong berkata, jarak balai ke lokasi kejadiaan adalah sejauh 46km dan mengambil masa perjalanan selama satu jam.

Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.- Bernama

Artikel Berkaitan: