PGSM harap model RUU Profesion Guaman Syarie jadi contoh negeri lain

 Musa Awang
Musa Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap model Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie dapat dijadikan panduan dan contoh kepada negeri-negeri lain.

Presiden PGSM, Musa Awang, pihaknya yakin dan percaya bahawa negeri-negeri akan mengambil langkah yang sama untuk memperkenalkan Enakmen Profesion Peguam Syarie di negeri masing-masing.

Jelas beliau, PGSM melalui cawangan di negeri-negeri bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri ke arah merealisasikan tujuan tersebut.

"Menyeragamkan undang-undang berkaitan Profesion Guaman Syarie bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme Peguam Syarie di negara ini, malah dapat menjadi pencetus ke arah memartabatkan institusi Mahkamah Syariah.

"Apa yang lebih penting, ia mampu mengelakkan kemudaratan kepada masyarakat, yang timbul akibat daripada ketidakseragaman tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019, iaitu RUU berhubung profesion guaman Syarie dan RUU (Pindaan) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 telah diluluskan di Parlimen.

Dalam pada itu, PGSM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof, Kerajaan Pakatan Harapan dan Ahli-Ahli Parlimen.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Musa berkata, dengan adanya undang-undang tersebut, Peguam Syarie akan menjadi lebih fokus, lebih berkomitmen, lebih berintegriti, lebih bertanggungjawab terhadap profesion mereka serta kepada anak guam.