Misteri Kubur Tok Panjang di Jertih

Mohd Zaid (kiri) dan Penghulu Mukim Pelagat, Anuar Idris mendepa tangan bagi menjelaskan Kubur Tok Panjang yang luar biasa ukuran panjangnya di Kampung Alor Selinsing.
Mohd Zaid (kiri) dan Penghulu Mukim Pelagat, Anuar Idris mendepa tangan bagi menjelaskan Kubur Tok Panjang yang luar biasa ukuran panjangnya di Kampung Alor Selinsing.
A
A
A

BESUT- Misteri kewujudan sebuah kubur panjang di Kampung Alor Selinsing, di Jertih masih belum terungkai sehingga kini.

Tidak ada pihak atau individu dapat mengesahkan kebenaran bahawa mayat yang dikebumikan di situ benar-benar panjang sebagaimana kubur itu sepanjang 6 meter.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Selinsing, Mohd Zaid Abu Bakar berkata, kubur panjang dan kini dikenali Kubur Tok Panjang didakwa wujud sejak ratusan tahun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun tidak ada pihak yang mengetahui asal-usul kubur tersebut termasuk dalam kalangan penduduk kerana dikatakan ketika kampung ini dibuka kubur ini telah berada di situ.

“Kubur ini terletak berasingan daripada kawasan tanah perkuburan di kampung ini dan terdapat satu kubur lagi bersebelahan kubur itu namun berukuran biasa dikatakan isteri Tok Panjang.

“Kubur panjang dan kubur sebelahnya telah dibina dengan dinding simen dan tar di sekelilingnya selain dipagarkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terdahulu,” katanya.

Zaid berkata, sejak kebelakangan ini kawasan kubur tersebut dilihat tidak terurus dan ditumbuhi semak-samun dan MPKK sepakat melakukan gotong-royong membersihkan jalan ke kubur itu dan persekitarannya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaid (kiri) menunjukkan kubur panjang kepada Penghulu Mukim Pelagat, Anuar Idris
Mohd Zaid (kiri) menunjukkan kubur panjang kepada Penghulu Mukim Pelagat, Anuar Idris

Menurutnya, video beliau bersama penduduk sedang membersihkan kubur tersebut telah tular di media sosial menyebabkan ia kembali menjadi perhatian kerana ramai belum mengetahui kewujudan kubur tersebut.

Kata Mohd Zaid lagi, salah satu misteri kubur itu yang diceritakan oleh penduduk ialah ukuran panjang yang berbeza ketika diukur dari batu nisan bahagian kepala dan kaki.

“Ada orang pernah ukur dari bahagian kaki (batu nisan) sepanjang tujuh hasta tetapi apabila diukur bermula dari bahagian kepala pula ukurannya hanya enam hasta,” katanya.

Sementara itu menurut bekas Pengerusi JKKK Alor Selinsing, Wan Hasan Wan Harun berkata, beliau tidak mengetahui asal kubur tersebut termasuk orang terdahulu daripadanya.

Wan Hassan yang kini berusia 74 tahun dan berasal dari kampung itu memberitahu, kubur itu wujud sejak ratusan tahun dan pernah dijaga oleh keluarga Pok Soh yang merupakan pemilik tanah yang mendiami di situ.

“Selepas kematian Pak Soh, kubur tersebut dijaga pula anaknya dikenali Pak Nik Tangkai Lara dan selepas kematiannya, tidak ada penempatan di situ sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata lagi, pada zaman dahulu kubur itu dianggap sebagai keramat oleh segelintir penduduk sehingga ada yang membawa haiwan ternakan mereka yang sakit ke situ untuk tujuan rawatan.

Malah katanya, sebelum kawasan kubur itu dipagar pada tahun 2010, ada aktiviti dipercayai memuja nombor ekor oleh pihak tidak bertanggungjawab berlaku di situ.

“Saya ambil keputusan memagarkan kawasan tersebut sebagai tempat sejarah kampung dan pada masa sama mencegah perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Tambahan lagi ada pelbagai pihak dari luar pernah datang ke sini dan mendakwa kubur Tok Panjang ada kaitan dengan keturunan mereka,” katanya.