Kelantan lantik orang asli jadi pendakwah

Mohd Nassuruddin (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada juara kategori syarahan, Izuan Lee Tian Chuan Abdullah sempena Program Mahrajan Amal Islam Muallaf hari ini.
Mohd Nassuruddin (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada juara kategori syarahan, Izuan Lee Tian Chuan Abdullah sempena Program Mahrajan Amal Islam Muallaf hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri mengetengahkan khidmat orang asli sebagai pendakwah bagi melancarkan usaha penyebaran Islam di perkampungan orang asli.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, setakat ini seramai 40 daripada 100 pendakwah yang bertugas merupakan lantikan orang asli.

Beliau turut mengakui, pendekatan tersebut merupakan langkah sesuai bagi membolehkan pengajaran Islam lebih mudah diterima.

“Kita galakkan penduduk tempatan belajar agama, malah kita beri pendidikan Islam dan hantar di sekolah agama sehingga ada yang jadi imam.

“Cuma bilangan yang ada sekarang tak ramai tapi kita berusaha untuk meningkatkan bilangan sedia ada dengan bekerjasama antara agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Mahrajan Amal Islam Mualaf peringkat negeri di Kompleks Islam Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama Imam Besar Maik, Muhammad Hana Pizi Abdullah dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jaheaik, Dr Hasnan Ramli.

Dalam program berkenaan, seramai 46 peserta mualaf mengambil bahagian dalam pertandingan yang dibahagikan kepada lima kategori iaitu tilawah al Quran, hafazan, syarahan agama, amali solat serta azan dan iqamat.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh isu di Kuala Koh beliau berkata, walaupun difahamkan orang asli suku Bateq beragama Islam, namun mereka masih terikat dengan ajaran kepercayaan nenek moyang.

Katanya, setiap kali mana-mana penduduk dijangkiti penyakit atau nazak, pesakit akan dibawa keluar dari rumah untuk dibawa ke hutan dipercayai bagi ritual tradisional dan keadaan itu menyukarkan usaha berdakwah.

“Ini kelemahan yang kita akui tapi kita tetap berusaha dan terus meningkatkan kerjasama dengan agensi lain,” katanya.