MFL pantau garis panduan berbelanja pasukan Liga-M

Tunku Ismail ketika berucap pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik 50 Tahun MFL di Iskandar Malaysia Studio di Iskandar Puteri hari ini.
Tunku Ismail ketika berucap pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik 50 Tahun MFL di Iskandar Malaysia Studio di Iskandar Puteri hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Garis panduan berbelanja bagi pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) akan diselia Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan tiada masalah dalaman serta kewangan dihadapi pada masa hadapan.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, teras utama dalam memastikan Liga M terus berkembang adalah dengan mengawal dahulu perbelanjaan setiap pasukan, sekali gus mengatasi masalah bebanan hutang.

“Mengambil contoh La Liga (Liga Sepanyol), kita tengok macam mana mereka uruskan kelab tidak banyak hutang ataupun ada masalah kewangan. Mereka akan beri garis panduan kepada pasukan tertentu macam mana nak belanja bergantung kepada kewangan mereka.

“Bukan pendapatan mereka RM2 juta belanja sampai RM5 juta. MFL akan memberikan nasihat dengan undang-undang ada untuk kawal dan pastikan tiada pasukan dalam negara hadapi masalah duit, hutang atau pemain tidak dapat gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik 50 Tahun MFL di Iskandar Malaysia Studio di Iskandar Puteri hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Tunku Ismail berkata, inisiatif itu juga adalah bertujuan merealisasikan misi utama Pelan Strategik 50 Tahun MFL yang mana mahu mewujudkan saingan liga yang lebih kompetitif dan seimbang.

Mengulas lanjut mengenai pelan yang dijadualkan bermula 2021 ini, Tunku Ismail memberitahu, MFL akan mengambil sikap tegas terhadap mana-mana pasukan yang didapati gagal mengikut peraturan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan tegas ini bertujuan untuk memastikan setiap pasukan dapat bersaing dan bersedia daripada pelbagai segi termasuk kewangan dan pelan pembangunan jangka panjang.

“Setiap pasukan perlu disiplin sekiranya mahu untuk memastikan kelangsungan skuad mereka dalam tempoh jangka panjang sesuai dengan tujuan perangkaan pelan strategik ini,” katanya.

Tunku Ismail berkata, setiap pasukan perlu berubah kepada penswastaan bagi mengelakkan bola sepak bebas daripada sebarang pengaruh politik selain kepada kewangan kerajaan negeri.

“Selepas ini, MFL tidak lagi melayan sebarang isu membabitkan masalah dalaman pasukan, sebaliknya mereka (pasukan) perlu berdisiplin untuk terus maju ke hadapan,” katanya.