Polis Sabah tahan tukang masak, rampas 1.9 kilogram dadah

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah menahan seorang tukang masak dan merampas 1.9 kilogram dadah bernilai RM42,500, di Kampung Air di ibu negeri pada Jumaat lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata rampasan membabitkan serbuk dadah seberat 1,746 gram, dadah jenis ketamin (103.4 gram) dan pil estacy sebanyak 300 biji (97 gram).

Katanya serbuk dadah dan ketamin itu dibungkus dalam paket plastik bersaiz kecil minuman segera dan akan dihantar ke makmal bagi mengetahui jenis dadah tersebut.

Hasil siasatan mendapati, suspek, seorang lelaki berasal dari Miri berusia 24 tahun, memperolehi bekalan dadah itu daripada seorang lelaki yang menyeludup masuk dadah masuk ke Bandar Kota Kinabalu, melalui pengangkutan udara, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya lelaki itu sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari hingga 18 Julai ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Zaini berkata polis merampas 457 gram dadah bernilai RM46,840 berikutan penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun dalam serbuan di dua apartment di Menggatal di sini pada Jumaat lepas.

Katanya dadah yang dijumpai di dalam dua apartment itu membabitkan serbuk dadah berbahaya seberat 165 gram, syabu (226 gram) dan ketamin (66 gram).

Menurutnya serbuan pertama membabitkan apartment yang didiami lelaki warga Fillipina bekerja sebagai buruh itu dan sebuah apartment yang tiada penghuni di kawasan yang sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata hasil siasatan awal, suspek memperolehi bekalan dadah daripada seorang lelaki warga asing di Semporna dan menyeludup masuk dadah ke ibu negeri melalui pengangkutan darat.

Lelaki itu sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari hingga 19 Julai ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama