Kritikal lepas minum arak disyaki beracun

Ahmad Dzaffir
Ahmad Dzaffir
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20-an kritikal selepas meminum arak disyaki mengandungi bahan kimia beracun jenis methanol di Kampung Baru Balakong pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan keracunan methanol itu pada jam 10.45 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa tidak sedarkan diri selepas meminum arak yang dibawa dari Kampung Baru Balakong.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati dia ada minum minuman keras yang mengandungi toksik methanol.

“Mangsa masih dirawat dan disahkan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, polis mengambil serius insiden itu berikutan ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Terdahulu katanya, terdapat tujuh kematian keracunan arak direkodkan di daerah Kajang tahun lalu dan tiga kes sama tahun ini.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak meminum arak tiruan atau murah yang dikhuatiri berisiko terdedah kepada keracunan methanol sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berhubung pembekal bahan atau minuman beracun kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang atau balai polis berhampiran,” katanya.