Terengganu pertimbang tamat projek Pulau Bayas

Ariffin
Ariffin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedang menimbangkan sama ada menerus atau menamatkan projek Zon Bebas Cukai Pulau Bayas di Tasik Kenyir selepas ia tergendala selama dua tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, satu jawatankuasa khas ditubuh dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamat Puteh bagi menyelesaikan isu itu.

Menurutnya, purata kemajuan keseluruhan projek sudah mencapai 77 peratus namun kontraktor tidak berupaya meneruskan kerana masalah kewangan.

“Enam pakej pembangunan Pulau Bayas tetapi hanya pakej empat dan enam siap sepenuhnya manakala yang lain mengalami kelewatan dengan jumlah keseluruhan denda yang dikenakan sehingga 30 April 2019 sebanyak RM10.4 juta.

"Peruntukan yang dicadangkan ialah RM55 juta lagi tetapi lebih RM75 juta diperlukan jika mahu siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas penangguhan sesi Sidang Dun Ke-14, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamat Puteh menjelaskan, kerajaan negeri sedang menyiapkan pelan induk bagi mengurangkan masalah banjir kilat di Kuala Terengganu.

Menurutnya, Pelan Induk Saliran Mesra Alam itu dijangka siap akhir tahun ini dengan belanja melebihi RM1.2 juta sebagai rujukan kepada semua jabatan dan berkuasa tempatan.

"Kerajaan negeri juga akan membina sistem saliran baharu bagi menangani masalah banjir ini,” katanya menjawab soalan yang dikemukakan Muhammad Khalil Abdul Hadi (Pas-Batu Burok).

Artikel Berkaitan: