Drawbridge bakal diiktiraf Malaysia Book of Records

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (tengah) diberi penerangan mengenai jambatan angkat ketika melakukan lawatan di menara bangunan ikonik itu di Kuala Terengganu, semalam.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (tengah) diberi penerangan mengenai jambatan angkat ketika melakukan lawatan di menara bangunan ikonik itu di Kuala Terengganu, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mercu tanda baharu Terengganu, jambatan angkat atau drawbridge bakal mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai satu-satunya jambatan di Asia yang dibina dengan 'bascule' (daun jambatan) terpanjang iaitu berukuran 76 meter.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya akan membantu bagi membolehkan Terengganu mendapatkan pengiktirafan itu.

“Saya difahamkan, struktur 'bascule' drawbridge ini adalah yang terpanjang di dunia. Jadi, dalam masa terdekat ini kita akan minta pihak MBOR untuk buat pengesahan tentangnya bagi membolehkan kita mencipta rekod negara dan seterusnya mencatatkan nama dalam Guinness World of Records,” katanya selepas melawat jambatan angkat itu, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi I, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Bakhtiar berkata, jambatan angkat itu juga disifatkan sebagai binaan baharu yang mengagumkan, sekali gus mengangkat nama Terengganu dan Malaysia ke persada antarabangsa.

Justeru beliau berkata, beberapa aktiviti termasuk menganjurkan aktiviti sukan ekstrem serta acara maraton bertaraf antarabangsa akan dirangka sebagai tarikan tambahan kepada pelancong yang berkunjung ke situ.

“Ada kemungkinan untuk kita majukan sukan ekstrem di drawbridge ini tetapi kita kena dapatkan pengendali yang bertauliah dan boleh dipercayai.

“Saya ada mengenali beberapa orang (pengendali) di peringkat dunia, jadi dengan kerjasama kerajaan negeri mungkin kita boleh jemput mereka ke sini untuk menilai akses daripada segi keselamatan, potensi dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita juga bercadang membawa pemimpin dan penggerak utama industri ke sini bagi menganjurkan salah satu pameran berskala mega kerana lokasinya bersesuaian untuk acara termasuk larian jambatan,” katanya.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter daripada aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Idea pembinaannya itu merupakan ilham daripada jambatan angkat di kota raya London, iaitu London Tower Bridge.