Guru dalang sindiket kereta klon ditahan

Razali (depan) menunjukkan kereta klon yang dirampas daripada lima suspek di IPD Kuala Kangsar hari ini.
Razali (depan) menunjukkan kereta klon yang dirampas daripada lima suspek di IPD Kuala Kangsar hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis berjaya membongkar sindiket kereta klon dalam kalangan penjawat awam apabila menahan seorang guru berusia 40 yang dipercayai dalang sindiket itu.

Serbuan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bersama Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman itu berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang wanita dalam operasi berasingan di Kuala Kangsar, Lenggong dan Sungai Siput sejak 5 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, mereka yang ditahan merupakan penuntut institut pengajian tinggi, guru dan penjawat awam yang berusia 21 hingga 41 tahun.

Menurutnya, kereta yang dirampas merupakan dua Honda Stream, Nissan Teana dan Sylphy, Honda Jazz dan Suzuki Swift.

"Hasil siasatan yang dijalankan membawa serbuan sebuah rumah milik seorang guru di Sungai Siput, dipercayai dalang sindiket yang merupakan seorang guru.

"Pemeriksaan menemui dua kereta klon jenis Nissan Teana dan Nissan Sylphy yang dibelinya dengan harga antara RM4,700 hingga RM4,300 yang dipercayai dibawa masuk dari Singapura," katanya dalam sidang media di IPD Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Razali berkata, kegiatan ini dipercayai aktif setahun yang lalu malah, lelaki terbabit pernah menjual empat kereta klon sebelum ini.

"Kesemua kenderaan terbabit mempunyai cukai jalan palsu dan nombor chasis didapati tiada dalam rekod sistem MySikap (JPJ) selain menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain dari jenis dan model yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Suspek juga mengetahui kenderaan yang digunakan itu kereta klon apabila membeli dengan harga RM3,800 hingga RM10,000," katanya.

Katanya, kesemua mereka direman empat hari sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 108(3)(e) dan Seksyen 108(3)(f) akta sama.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 iaitu memiliki yang disyaki didapati secara haram, tidak dapat memberi penjelasan dengan memuaskan bagaimana ia mendapatkannya," katanya.