Kerjasama GKSB dan KUM untuk pemasangan solar

Ir Guntor (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohd Amar ketika Majlis MoU KUM dan GKSB untuk pemasangan solar PV sistem di Kelantan.
Ir Guntor (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohd Amar ketika Majlis MoU KUM dan GKSB untuk pemasangan solar PV sistem di Kelantan.
A
A
A
GADING Kencana Sdn Bhd (GKSB) berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Kelantan Utilities Mubaaraka Holdings Sdn Bhd (KUM) untuk memasang solar PV sistem di loji rawatan air (LRA) dan medan telaga milik syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata, GKSB bersama KUM dan AKSB sedang mengkaji LRA dan medan telaga yang sesuai untuk pemasangan solar panel ini.

Menurutnya, tujuan utama pemasangan panel solar itu adalah untuk mengurangkan bil elektrik yang tinggi di LRA dan medan telaga AKSB.

“Dianggarkan sebanyak 7.8MWp kapasiti akan dipasang di loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB di mana ia akan memberikan penjimatan bil elektrik kepada AKSB dalam anggaran RM4 juta setahun bagi kesemua 19 loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB mengikut tarif kategori yang ditetapkan.

“Projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan sepanjang aktiviti pemasangan, pentauliahan serta penyelenggaraan sistem solar ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar baru-baru ini.

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif KUM, Abdul Rashid Mohd dan Pengurus Kanan Kumpulan KUM, Mahadi Mokhtar mewakili KUM manakala GKSB diwakili Ir Guntor Tobeng dan Pengarah Pembangunan Perniagaan GKSB, Zalina Yusof. Hadir dan menyaksikan MoU ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ir Guntor berkata, tenaga solar adalah sebahagian dari tenaga boleh baharu kerana keupayaannya untuk menjana tenaga tanpa mengeluarkan karbon.

“Dengan pemasangan solar PV Sistem disetiap loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB dapat mengurangkan pelepasan karbon ke udara sebanyak 7,074,393 tCO2,” katanya.

Beliau berkata, MoU itu juga dimeterai untuk menjalinkan kerjasama di antara KUM dan GKSB dalam menjalankan aktiviti pemasangan solar PV sistem di atas bumbung melibatkan 40 buah bangunan kerajaan dan bangunan komersil di negeri Kelantan.
Artikel Berkaitan:


“Kami menjangkakan jumlah perolehan yang akan diperoleh daripada projek ini adalah RM134 juta dan melahirkan 450 pekerja.

“Fasa pertama projek ini akan melibatkan pemasangan solar PV di Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan ia melibatkan tempoh pemasangan selama dua tahun. Ia akan membantu memberikan penjimatan berjumlah RM40 juta setahun ,” katanya.

Tambahnya, selain menumpukan kepada pasaran tempatan, GKSB kini memfokuskan kepada pasaran Asian.