Cubaan larikan diri gagal, kereta dipandu PATI terbabas

Seorang lelaki warga asing yang memandu Proton Satria berjaya ditahan polis di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, selepas memecut kenderaannya sejauh kira-kira 8.6 kilometer.
Seorang lelaki warga asing yang memandu Proton Satria berjaya ditahan polis di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, selepas memecut kenderaannya sejauh kira-kira 8.6 kilometer.
A
A
A

KLANG - Cubaan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia melarikan diri sejauh 8.6 kilometer gagal apabila kenderaan dipandunya terbabas merempuh tiang lampu jalan di Persiaran Raja Muda Musa, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek lelaki berusia 22 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Proton Satria dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kem Pelabuhan Klang.

Katanya, anggota peronda polis (MPV) kemudiannya mengarahkan lelaki terbabit untuk memberhentikan keretanya.

"Bagaimanapun, suspek tidak mengendahkan arahan tersebut sebelum bertindak agresif dengan memecut laju keretanya.

"Tindakan suspek itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal berusia 20-an cedera selepas dilanggar di persimpangan lampu isyarat," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Shamsul Amar berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Persiaran Raja Muda Musa apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang lampu jalan sehingga patah selepas dikejar sejauh kira-kira 8.6 kilometer.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.

"Semakan juga mendapati kereta itu tidak mempunyai cukai jalan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan," katanya.