Aduan kepada WTO terhadap dasar bahan api sawit EU November depan

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada November untuk mencabar larangan penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata, dokumen berkaitan aduan itu kini berada dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan AGC. Mereka membantu dan menolong kami mengenal pasti beberapa pakar yang boleh menghujahkan kes (yang kami mahu failkan kepada) WTO. Banyak perkara sudah disediakan ketika ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penanam-Penanam Antarabangsa Ke-9 di sini, hari ini.

Kok berkata Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit akan mengadakan mesyuarat peringkat menteri dengan Indonesia untuk membincangkan isu itu.

"Kami mahu tahu apakah cadangan-cadangan yang mereka mahu kemukakan (berhubung larangan penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit oleh EU), dan sudah pasti kes kami terhadap EU juga akan dibincangkan," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan melakukannya bersendirian sekiranya Indonesia tidak berminat mengemukakan aduan bersama kepada badan antarabangsa itu, beliau berkata: "Secara strategiknya, adalah baik untuk kami sekiranya kami melakukannya bersama-sama Indonesia."- Bernama

Artikel Berkaitan: