Pegawai sulit Ahli Parlimen Hulu Selangor disamun tiga lelaki

June Leow singgah ke pejabatnya yang dipecah masuk pagi tadi sebelum ke sidang Parlimen.
June Leow singgah ke pejabatnya yang dipecah masuk pagi tadi sebelum ke sidang Parlimen.
A
A
A

HULU SELANGOR - Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Selangor dipecah masuk tiga lelaki bersenjatakan parang dan menyamun pegawai sulit ahli Parlimen itu, pagi tadi.

Mangsa, Goh Beng Poh, 58, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.55 pagi, dia berada seorang diri di dalam pejabat berkenaan di Jalan Helikonia, Sungai Choh.

Menurutnya, dia terdengar bunyi pintu hadapan pejabat diumpil dan segera berlari ke bahagian belakang sebelum menghubungi talian 999.

"Tiga lelaki memakai topeng muka dan bersenjatakan parang masuk melalui pintu hadapan yang diumpil lalu mengacu parang ke arah saya.

"Salah seorang lelaki itu merampas telefon bimbit saya dan memecah pintu bilik pejabat Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui. Mereka mencabut kotak sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di dalam bilik berkenaan.

"Mereka membawa saya ke bahagian belakang dan meminta wang serta kunci kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik saya," katanya kepada Sinar Harian.

Beng Poh berkata, suspek merampas dompetnya dan wang tunai sebelum melarikan diri menggunakan pacuan empat roda milik mangsa bernombor VN 6262.

Menurutnya, dia melihat kenderaan tersebut dibawa lari menuju kee arah Sungai Buaya.

Artikel Berkaitan:

"Antara barang yang dibawa lari adalah wang tunai RM1,500, kotak CCTV, enam keping cek, dokumen peribadi pusat khidmat rakyat, telefon bimbit Huawei P30 dan Smart Tag.

"Jumlah kerugian belum dikenal pasti dan hasil pemeriksaan di pejabat, saya menjumpai sebuah telefon bimbit di pintu hadapan pejabat.

"Saya mengesayaki telefon bimbit itu milik penyamun yang tercicir. Saya buat laporan polis di Balai Polis Serendah pada jam 10.47 pagi," katanya.

Sementara itu June Leow ketika dihubungi mengesahkan kejadian dialami pegawai sulitnya dan menyerahkan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.