Dadah RM1.23 juta, dua pucuk pistol dirampas

Mazlan (bercermin mata) menunjukkan antara rampasan dadah yang dibuat pihaknya dalam serbuan di ibu negara, Khamis lalu.
Mazlan (bercermin mata) menunjukkan antara rampasan dadah yang dibuat pihaknya dalam serbuan di ibu negara, Khamis lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan kegiatan dua sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga Iran dan tempatan dengan rampasan mencecah RM1.23 juta dalam serbuan di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan pertama pada Khamis di hadapan sebuah kondominium di Sungai Besi kira-kira jam 4.50 petang telah menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.

Katanya, soal siasat kemudian membawa serbuan di kondominium terbabit dan merampas dadah jenis syabu seberat 23.49 kilogram dianggarkan bernilai RM1.17 juta.

"Serbuan ini juga turut merampas sepucuk pistol, satu kelopak dan 28 butir peluru. Polis turut menyita sebuah kereta Proton Satria Neo dan wang tunai RM7,000.

"Suspek yang dipercayai aktif sejak dua bulan lalu ini juga dikesan positif dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Sepucuk pistol jenis walter yang dirampas polis dengan tertangkapnya dua suspek warga Iran di sebuah kondominium di Jalan Solaris, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Gambar kecil, sepucuk pistol jenis yang dirampas polis dengan tertangkapnya seorang suspek warga tempatan di sebuah kondominium di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Sepucuk pistol jenis walter yang dirampas polis dengan tertangkapnya dua suspek warga Iran di sebuah kondominium di Jalan Solaris, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Gambar kecil, sepucuk pistol jenis yang dirampas polis dengan tertangkapnya seorang suspek warga tempatan di sebuah kondominium di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Dalam kes kedua, polis menahan sebuah kereta jenis BMW X6 yang dinaiki dua lelaki warga Iran berusia 27 dan 46 tahun kira-kira jam 7.40 petang, pada Jumaat di tempat letak kereta di sebuah kondominium Jalan Solaris.

Tambah Mazlan, hasil soal siasat, pada jam 12.30 tengah malam membawa pemeriksaan di dalam sebuah kereta jenis Mercedes Benz di sebuah kondominium di Jalan Kiara dengan rampasan dadah jenis ketamin dianggar seberat 1 kilogram bernilai RM60,800.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan lanjut di kondominium merupakan kediaman suspek itu menjumpai sepucuk pistol jenis walter CP88 bersama satu kelopak serta lapan butir peluru.

"Suspek yang didapati positif dadah jenis ganja ini dipercayai aktif mengedar dadah jenis syabu, heroin, ekstasi serta ketamin di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu," katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati suspek ini sering keluar masuk ke Malaysia dan salah seorang daripada mereka adalah bekerja sebagai ejen hartanah.

Tegasnya, kedua-dua kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.