Pelabuhan Tanjung Bruas akan terus dibangunkan

Mohd Rafiq ketika menjawab soalan wakil rakyat pembangkang mengenai Pelabuhan Tanjung Bruas ketika Persidangan DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka optimum untuk memastikan Pelabuhan Tanjung Bruas berkembang pesat dan menjadi pintu masuk aktiviti import dan eksport.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, menyedari hal itu pelabuhan berkenaan akan dibangunkan secara komersial dengan melibatkan nilai pelaburan yang dianggarkan RM160juta seperti perjanjian konsesi yang ditandatangani Syarikat Tanjung Bruas Sdn Bhd dengan Kerajaan Pusat sebelum ini menerusi Kementerian Pengangkutan.

Menurutnya, pihak berkenaan juga mempunyai perancangan bagi jangka panjang dengan cadangan untuk membina lebuh raya menghubungkan pelabuhan tersebut terus ke Lebuhraya Sungai Udang - Paya Rumput - Ayer Keroh (SPA) yang dipanjangkan kepada kerjaan negeri oleh pihak berkenaan sekali gus diyakini dapat membantu penguraian trafik dan menyelesaikan masalah lalu lintas.

"Dalam masa sama kerajaan negeri turut mempunyai beberapa cadangan pembangunan Pelabuhan Tanjung Bruas iaitu pelan pembangunan jangka sederhana (2016-2017) membabitkan renovasi bangunan pentadbiran sedia ada dan bangunan gudang selain membina kawasan terbuka.

"Bagi pelan pembangunan "Near Term" bagi tempoh 2018 hingga 2019, skop pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pintu masuk baharu empat lorong di pelabuhan, pusat pemeriksaan Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), menaiktaraf jeti dan membaik pulih struktur jabatan serta pencahayaan lampu juga sudah siap," katanya.

Rafiq (Bersatu-Paya Rumput) berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Nor Azman Hassan (BN- Pantai Kundor) mengenai langkah keselamatan yang diambil bagi menghadapi kemungkinan kemalangan berlaku dan perancangan kerajaan negeri bagi menjadikan Pelabuhan Tanjung Bruas sebagai pelabuhan terulung pada Persidangan Dewan Udangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurutnya, pelan ketiga pula akan melibatkan skop penambakan laut seluas 6.07 hektar melibatkan kerja-kerja pemanjangan dan pembinaan jeti baharu, pembinaan jambatan baharu dan pembinaan kawasan kontena.

"Kita percaya apabila semua pelan pembangunan sudah siap ia akan menjadi lokasi pelabuhan serba guna yang boleh mengendalikan beberapa operasi seperti kargo pukal dan pecah pukal serta cecair, RORO, kontena dan kawasan simpanan serta pemunggahan untuk kontena dan kargo lain," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia