Acara permotoran jadi tarikan KMJ 2019

Nor Syazlan
A
A

PONTIAN - Acara permotoran menjadi tarikan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 yang akan singgah di Pontian pada 20 Julai ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Nor Syazlan Abdul Razak berkata, Pontian menjadi destinasi pertama KMJ 2019 yang diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada edisi kali ini.

Menurutnya, akan berlangsung pada hari itu perlumbaan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 bagi pusingan keempat di Pusat Perdagangan Pontian melibatkan kira-kira 180 pelumba.

“Lokasi penganjuran acara permotoran seperti pameran dari Petronas di Terminal Pengangkutan Awam Pontian sudah mendapat perkenan Sultan Ibrahim untuk hadir.

“Pelbagai acara permotoran akan diadakan antaranya Mega Gathering Yamaha Y15 melibatkan 3,000 peserta dari seluruh negara. Ada juga sukan e-sports, run bike dan beyblade,” katanya ketika ditemui selepas raptai KMJ 2019 di Dataran Awam Tepi Laut Pontian di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah, Zulkifly Mohd Tahir dan Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Dr Khalid Jusoh.

Nor Syazlan berkata, MDP dengan kerjasama Perbadanan Pengangkutan Awam Johor menyediakan enam bas pengantara bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke lokasi perlumbaan memandangkan terdapat laluan yang ditutup sementara pada 20 dan 21 Julai ini.

“Ini merupakan tarikan terbaru Pontian. Pasti fokus daerah Pontian mahu menjadi lokasi yang terbaik untuk dikunjungi dan didiami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelaras Cub Prix, Shafry Azizan berkata, dianggarkan 30,000 pengunjung akan hadir menyaksikan perlumbaan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 bermula Sabtu ini.

Menurutnya, kehadiran pengunjung dijangka tinggi berikutan Pontian menjadi venue baharu kejuaraan berprestij itu sekali gus memberi cabaran baharu kepada para pelumba.

“Penganjuran di Pontian meletakkan Johor sebagai hos untuk dua pusingan kejuaraan Cub Prix musim ini selepas Tangkak yang menjadi destinasi untuk pusingan ketiga pada 3 hingga 4 Mei lalu,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia