'Orang Cina tak sokong MCA, tiada kaitan dengan saya'

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak mendapat undi kaum Cina pada pilihan raya umum (PRU) lalu kerana kegagalan MCA menarik sokongan kaum itu, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau menafikan dakwaan bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, bahawa beliau adalah punca BN tidak mendapat undi kaum Cina disebabkan kenyataannya yang mengkritik ahli perniagaan, Tan Sri Robert Kuok, seperti yang dimaklumkan MCA.

Nazri berkata, beliau hanya mengeluarkan kenyataan mengenai Kuok bagi mempertahankan kenyataan Najib mengenai ahli perniagaan itu, pada awal tahun lalu.

"Mengenai Robert Kuok, beliau (Najib) yang terlebih dulu membuat kenyataan mengenainya dan saya hanya membuat kenyataan mempertahankannya. Bagaimanapun, kita akhirnya tahu bahawa Kuok menyokong DAP.

"Dari segi MCA, parti itu kalah bukan kerana kenyataan itu (yang dibuat beliau). Mereka kalah kerana masyarakat Cina tidak sokong mereka sejak 2004, daripada 37 kepada 15 kerusi pada 2008 dan pada 2013, tinggal tujuh kerusi, sehinggalah sekarang. Trend masyarakat Cina tidak sokong MCA sudah pun ada dan ia tidak ada kaitan dengan kenyataan saya," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nazri boleh ganti tempat saya, kata Najib

Semalam, media melaporkan, Najib berkata, MCA memaklumkan kepada beliau bahawa sebab kaum Cina tidak mengundi BN pada PRU lalu adalah kerana kritikan yang dibuat Nazri terhadap Kuok.

Kuok sebelum ini didakwa memberikan dana kepada DAP ketika pentadbiran kerajaan terdahulu dan ia mengundang kritikan pemimpin kerajaan ketika itu, termasuk Nazri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai ramai ahli UMNO yang menyokong pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Nazri berkata, ia terserah kepada pendapat masing-masing.

"Saya mempunyai pandangan sendiri dan ia tidak mewakili parti. Saya hanyalah Ketua UMNO Padang Rengas dan UMNO menyatakan mereka mengamalkan demokrasi.

"Jadi, apa salahnya jika kita mengkritik sebahagian tindakan yang diambil parti terutama yang dibuat tanpa berunding dengan Majlis Tertinggi (UMNO)," katanya.