X

Kindly register in order to view this article
!

Ubah suai model Felda bawa keuntungan

A Rahman Mahadi
A
A

JOHOR BAHRU - Perubahan drastik dengan mengambil contoh dari model perniagaan Felda sebelum tahun 2012 dilihat menjadi jalan terbaik untuk menyelamatkan lembaga tersebut.

Presiden Majlis Suara Melayu Johor (MSMJ), A Rahman Mahadi berkata, perkara itu dilihat berdasarkan rekod keuntungan diperoleh Felda dari tahun-tahun berkenaan yang dilihat begitu lumayan, selain tidak mengetepikan kepentingan peneroka.

Menurutnya, Felda mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarah pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM5.8 bilion sejurus selepas penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) FGV Holdings Berhad (FGV) di Bursa Malaysia.

“Prestasi kewangan lembaga ini dalam tahun-tahun sebelumnya begitu memberangsangkan dengan purata keuntungan sebanyak RM720 juta setahun dalam tempoh 2007 hingga 2011.

“Sebelum tahun 2012, pelbagai aktiviti huluan dan hiliran di ladang komersial dan peneroka dikendalikan Felda Holdings Berhad (FHB) yang dimiliki Felda sendiri serta Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

“KPF ketika ini memegang ekuiti sebanyak 51 peratus dalam FHB yang majoritinya dianggotai peneroka Felda iaitu sebanyak 88 peratus atau 233,635 ahli. Melalui KPF, peneroka boleh memperoleh dividen daripada FHB untuk menambah pendapatan di samping hasil tanaman di ladang mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

A Rahman berkata, prestasi cemerlang itu bagaimanapun kian merudum apabila Felda menjalani penstrukturan semula pada tahun 2012 apabila memberikan lebih tumpuan operasi perniagaan kepada FGV.

“Selepas penstrukturan, Felda cuma dapat mengendalikan pengurusan ladang peneroka dan industri kecil manakala aktiviti hiliran dan pengurusan ladang komersial diserahkan kepada FGV melalui perjanjian sewa tanah (LLA).

“Ia semakin rumit apabila Felda menubuhkan sebuah syarikat, Felda Investment Corporation (FIC) yang bertanggungjawab untuk pelaburan luar sektor perladangan di dalam dan di luar negara,” katanya.

Menurutnya, model perniagaan tidak diteliti semula itu dilihat amat tidak menguntungkan lembaga berkenaan apabila kerugian sebanyak RM2 bilion dicatatkan hanya setahun selepas penstrukturan tersebut.

“Kumpulan Felda terus mencatatkan kerugian pada tahun-tahun berikutnya sehingga kini direkodkan kerugian terburuk pada 2017 sebanyak RM4.9 bilion.

“Ternyata model perniagaan pasca 2012 ini meranapkan Felda terutama apabila kumpulan ini melakukan pelbagai pelaburan secara agresif. Model perniagaan ini memberi peluang kepada Felda untuk melabur dalam aset bukan perladangan seperti hartanah dan perhotelan,” katanya.

A Rahman berkata, mengembalikan serta menambah baik model perniagaan berkenaan sesuai dengan tuntutan ekonomi negara masa kini dan praktikal.

“Sebagai contoh, walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO) pada 2009 adalah sangat rendah sekitar RM2,200 per tan metrik, Felda masih mampu mencatatkan keuntungan sebanyak RM200 juta berbeza pada 2017 yang CPOnya tinggi tetapi hanya kerugian diperoleh.

“Memang benar, keadaan ekonomi sejagat sekarang bukanlah sama dengan tahun 2009, ditambah dengan ancaman negara Eropah untuk menyekat import minyak sawit dari rantauan Asia Tenggara,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, jika model perniagaan lama itu digabungkan dengan teknologi ‘smart farming’ seperti dihebahkan kerajaan selain menukar barisan lembaga pengarah kepada yang lebih berintegriti, perkara itu adalah tidak mustahil untuk Felda mengatasi cabaran ekonomi masa kini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!