Federer tak takut dipintas pemain lain

Federer akur gagal dalam misi menjulang gelaran Grand Slam ke-21 di Terbuka Wimbledon. - Foto AFP
A
A

PEMAIN tenis nombor tiga dunia, Roger Federer sama sekali tidak takut jika rekod menjuarai 20 gelaran Grand Slam miliknya bakal dipintas pemain yang lebih muda darinya selepas ini.

Bintang Switzerland berusia 37 tahun itu kini sedang dicabar hebat Rafael Nadal (18 gelaran Grand Slam) dan Novak Djokovic yang berjaya meraih gelaran Grand Slam ke-16 di Terbuka Wimbledon selepas menewaskan Federer awal pagi semalam.

Jelas Federer, rekod yang dicipta atau berapa jumlah gelaran yang diraih bukanlah sesuatu yang penting untuknya dan ia juga bukan pendorong untuk seseorang itu berjaya.

"Saya ada banyak motivasi lain untuk berjaya. Bukan hanya melalui berapa gelaran Grand Slam sahaja.

"Lagipun, saya tidak terlalu mencuba untuk memecahkan rekod sendiri selama ini. Saya hanya beraksi dengan cara saya dan membiarkan kejayaan itu datang sendiri.

"Jika ada pemain lain yang memintas rekod itu, ia bagus untuk mereka. Saya perlu sedar, saya tidak boleh kekalkan segala-galanya. Saya juga tidak menjadi pemain tenis pada hari ini untuk mengajar perkara-perkara remeh seperti itu," katanya.

Mengulas kekalahannya di final Wimbledon, Federer berkata beliau akan segera melupakan kekecewaan yang dihadapinya ini, namun akan terus mengingati pertarungan hebat yang terpaksa diheret selama lebih empat jam itu.

"Buat masa ini, kekalahan ini memang menyakitkan dan sepatutnya begitu, sebagaimana apabila setiap kali saya tewas dalam Wimbledon.

"Saya begitu hampir dengan kemenangan, tetapi gagal. Namun, saya dapat melihat banyak detik menarik untuk diingati," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia