'Nasib baik pokok hempap tepi rumah'

Antara rumah musnah dalam satu kejadian ribut petang semalam. FOTO - Ihsan APM
Antara rumah musnah dalam satu kejadian ribut petang semalam. FOTO - Ihsan APM
A
A
A

TEMERLOH - Empat beradik menempuh detik menakutkan apabila pokok getah menghempap bahagian tepi rumah mereka di Kampung Gajah Mati, Mentakab di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Ahmad Ariffin, 33, bersama tiga lagi adiknya berada di dalam rumah berikutan ribut kuat melanda di kawasan terbabit.

Menurutnya, dalam keadaan angin kuat itu, dia tiba-tiba mendengar bunyi dentuman seperti sesuatu yang menghempap rumah sehingga menyebabkan air mencurah masuk ke dalam kediaman miliknya.

“Bila saya tengok pokok getah tumbang, bahagian tepi rumah saya turut musnah. Selepas kejadian itu, kami segera hubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan segera.

“Saya bersyukur sebab ia tidak kena keseluruhan rumah pusaka ini, hanya kena di tepi sahaja, lebih-lebih lagi ketika itu kami sekeluarga masih berada di dalam rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad berkata, kira-kira 15 keping atap bumbung perlu ditukar kerana rosak akibat kejadian ribut itu.

Anggota APM segera ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada mangsa ribut. FOTO - Ihsan APM
Anggota APM segera ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada mangsa ribut. FOTO - Ihsan APM

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, sebanyak 16 rumah penduduk dan dua premis kerajaan rosak dalam kejadian ribut yang melanda beberapa kampung di Daerah Temerloh petang semalam.

Artikel Berkaitan:

"Antara kampung terlibat ialah Kampung Gajah Mati; Kampung Sungai Kepong, Kampung Mempateh, Kampung Paya Keladan, Kampung Seri Ketumbit, Kampung Bukit Ketumbit, Kampung Kerai Jalan, Kampung Tan Seri Yahya, Kampung Rasau dan Taman Paya Taram.

"Premis kerajaan terjejas melibatkan blok kediaman Kem Batu 5, Mentakab dan stor pekerja Sekolah Kebangsaan Kerdau. Kebanyakan rumah terjejas mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dam tiada pusat pemindahan sementara dibuka manakala anggaran kerugian masih dalam taksiran,” katanya.

Menurutnya, penduduk yang terjejas dinasihatkan supaya membuat laporan polis bagi mengesahkan kejadian itu.