Peguam UMNO gagal gugur tuduhan terima wang haram

Pasukan peguambela Hafarizam (tengah) Datuk Hasnal Rezua Merican dan Wan Azmir Wan Majid (kiri) selepas selesai kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Pasukan peguambela Hafarizam (tengah) Datuk Hasnal Rezua Merican dan Wan Azmir Wan Majid (kiri) selepas selesai kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun gagal dalam permohonan representasi yang dikemukakan pasukan peguambelanya untuk mengugurkan pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini, permohonan representasi yang dikemukakan pihak pembelaan ditolak oleh Jabatan Peguam Negara pada 11 Julai lalu.

"Pihak AGC telah menolak surat representasi yang dikemukakan peguambela untuk mengugurkan kes terhadap tertuduh.

Representasi tidak dipertimbangkan buat masa ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Ashrof berkata, permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke mahkamah tinggi akan dikemukakan sama ada oleh pihak pendakwaan atau pihak pembelaan.

"Kemungkinan terdapat dokumen tambahan yang perlu disemak pegawai penyiasat.

"Sehubungan itu, kami mohon satu tarikh untuk sebutan semula kes," katanya.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam tidak membantah permohonan itu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pada 21 Februari lepas, Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Dia didakwa mendeposit dua keping cek daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bernilai RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, antara 16 April and 4 November 2014.

Peguam itu juga dituduh mendeposit cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib ke dalam akaun sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.