Kerajaan pertimbang lanjut operasi Hospital Medan Cox's Bazar

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempertimbangkan kewajaran melanjutkan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh sehingga tahun 2021.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata pihak Bangladesh menyambut baik sumbangan Hospital Medan Malaysia dan mencadangkan supaya ia meneruskan pengoperasiannya.

"Bagi cadangan ini, kerajaan masih lagi mempertimbangkan akan kewajaran meneruskan pengoperasian sehingga 2021 dengan mengambil kira kesan utama ke atas pelarian Rohingya itu sendiri,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin tahu keberkesanan pengoperasian Hospital Medan Malaysia dan hala tuju penglibatan Malaysia dalam usaha kemanusiaan terhadap krisis Rohingya.

Pada masa ini, Mohamad berkata kerajaan bersetuju untuk melanjutkan pengoperasian hospital berkenaan sehingga 31 Disember tahun ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata isu pertambahan pelarian Rohingya di Malaysia dan di Cox’s Bazar sentiasa dibangkitkan dalam perbincangan di peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia dan Myanmar.

Katanya negara itu memberi jaminan beberapa kali bahawa mereka bersedia menerima kembali pelarian yang mempunyai identiti.

"Namun begitu, masalah yang kita hadapi sekarang bagi mereka yang berhijrah ini di antaranya mereka tidak mempunyai identiti, tidak punyai kad kerakyatan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini sama ada disengajakan supaya mereka tidak ada kad kerakyatan atau tidak, itu perlu kepada penyelidikan. Tetapi menjadi kesukaran termasuk yang berada di Malaysia lebih daripada 160,000 pelarian sekarang. Kerajaan Malaysia membantu mereka sekadar yang termampu,” katanya.

Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) mengenai sama ada kementerian akan menggunakan kaedah diplomasi ketenteraan dalam menyelesaikan masalah pelarian Rohingya. -Bernama