Projek Kluster Rumpai Laut di Sabah belum capai objektif: Audit

Jabatan Audit Negara
Jabatan Audit Negara
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelaksanaan Projek Kluster Rumpai Laut di negeri ini di bawah Jabatan Perikanan Negeri Sabah belum mencapai objektif yang ditetapkan memandangkan hanya empat daripada 10 kluster yang dirancang telah ditubuhkan dan beroperasi.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, dianggarkan 360 peserta belum mendapat manfaat daripada projek memandangkan enam kluster yang disasarkan masih belum bermula.

"Produktiviti pengeluaran rumpai laut pada tahun 2013, 2014 dan 2015 adalah masing-masing 2.09 tan, 2.46 tan dan 3.24 tan sehektar setahun bagi setiap peserta adalah lebih rendah berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu lima tan sehektar setahun bagi setiap peserta.

"Sasaran projek untuk meningkatkan pendapatan peserta melebihi RM1,000 sebulan juga masih belum tercapai memandangkan purata pendapatan bulanan setiap peserta pada tahun 2013, 2014 dan 2015 adalah masing-masing berjumlah RM436.03, RM511.81 dan RM675.78," menurut laporan berkenaan.

Menurut laporan itu, setakat 2018, negeri Sabah merupakan negeri yang menjalankan aktiviti penanaman rumpai laut terbesar di negara ini dengan keluasan kawasan penanaman sekitar 9,836 hektar.

"Bahagian pantai timur Sabah (Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Tawau) mewakili 99.9 peratus kawasan penanaman dan selebihnya di bahagian pantai barat (Tuaran).

"Sasaran kerajaan adalah mewujudkan sebanyak 10 kluster yang melibatkan seramai 600 orang peserta menjelang tahun 2020," menurut laporan itu.

Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan Projek Kluster Rumpai Laut dapat diuruskan dengan cekap dan berkesan, Ketua Audit Negara mencadangkan supaya pihak Jabatan Perikanan Negeri Sabah mengambil empat langkah penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

Langkah pertama, perancangan rapi dibuat termasuk isu tanah, melantik peneraju yang berwibawa dan mempercepatkan penubuhan baki kluster yang disasarkan bagi memastikan projek boleh beroperasi dan memberi manfaat kepada peserta.

Langkah kedua, menjalankan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan benih rumpai laut yang boleh mengeluarkan produktiviti yang tinggi agar objektif produktiviti lima (5) tan sehektar setahun bagi setiap peserta dapat dicapai.

Langkah ketiga, mewujudkan mekanisme pemasaran dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan bagi membantu peserta menjual rumpai laut untuk mendapatkan harga yang lebih kompetitif dan tidak terhad kepada monopoli orang tengah atau syarikat tertentu, manakala Kerajaan juga wajar menetapkan harga lantai dengan memberikan subsidi bagi menstabilkan harga rumpai laut.

Langkah keempat, mendidik dan memberi panduan kepada peserta untuk mengamalkan kaedah ladang separa komersil untuk pengiktirafan agar produk boleh dipasarkan secara global. -Bernama