Dua tekong, 23 Pati didakwa

Tekong dan Pati yang dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas dakwaan terlibat dalam pengangkutan migran yang diseludup dan keluar dari Malaysia tanpa melalui jalan diwartakan.
Tekong dan Pati yang dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas dakwaan terlibat dalam pengangkutan migran yang diseludup dan keluar dari Malaysia tanpa melalui jalan diwartakan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Dua tekong mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan terlibat dalam pengangkutan migran yang diseludup keluar dari Malaysia awal bulan ini.

Tertuduh, Bujang, 63, dan Suardi, 49 didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 Julai 2019 kira-kira jam 11.40 malam.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh mengemudi sebuah bot fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran di kedudukan kira-kira 4.2 batu nautika tenggara Tanjung Ayam, Kota Tinggi.

Mereka didapati telah terlibat dalam pengangkutan migran yang diseludup keluar dari Malaysia dan didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya.

Majistret Mazana Sinin kemudian menetapkan tarikh 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini.

Sementara itu pada prosiding sama, seramai 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia turut mengaku bersalah atas pertuduhan keluar dari Malaysia tanpa melalui jalan yang diwartakan.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada 3 Julai kira-kira 11.40 malam di kedudukan lebih kurang 4.2 batu nautika tenggara Tanjung Ayam, Kota Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mazana kemudian menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara bermula tarikh tangkapan kepada 20 tertuduh.

Tiga lagi tertuduh iaitu Heri Wibowo, 40, Shilvia Yuliane, 37, dan Ria Wulandari, 31, bersetuju membayar denda RM8,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazana Abd Lajis manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.