Nur Dhabitah-Wendy Ng beraksi di final petang ini

Nur Dhabitah -Foto Bernama
Nur Dhabitah -Foto Bernama
A
A
A

GANDINGAN penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng Yan Yee mara ke final acara 3m Papan Anjal Seirama Wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, yang akan berlangsung petang ini.

Nur Dhabitah-Wendy berada di kedudukan keenam dengan jumlah 270.60 mata selepas menamatkan lima terjunan pada pusingan kelayakan pagi ini.

Pada aksi di Nambu International Aquatics Centre itu, pasangan negara bermula di tangga kesembilan selepas mencatat 46.20 mata, seterusnya memperbaiki terjunan untuk berada di kedudukan keempat dengan keputusan 157.20 mata selepas cubaan ketiga.

Namun, pasangan negara terpaksa bersaing dengan penerjun Amerika Syarikat, Krysta Palmer-Alison Gibson untuk berada di kedudukan kelima namun nasib tidak menyebelahi Nur Dhabitah-Wendy yang terpaksa akur di tempat keenam dengan hanya perbezaan 3.84 mata selepas lima terjunan.

Penerjun dari China, Wang Han yang bergandingan olimpian Shi Tingmao mengungguli pusingan kelayakan dengan meraih 309.90 mata, diikuti Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu dari Kanada selepas mencatatkan 292.08 mata manakala di tempat ketiga milik gandingan Australia, Anabelle Smith-Maddison Keeney dengan 287.43 mata.

Gandingan lain yang turut layak ke final adalah Grace Reid-Katherine Torrance (Great Britian), Kristina Ilinykh-Mariia Poliakova (Rusia), Paola Espinosa Sanchez-Nelany Hernandez Torres (Mexico).

Madeline Coquoz-Jessica Floriance Favre (Switzerland), Celine Van Duijn-Inge Jansen (Belanda), Cho Eunbi-Kim Suji (Korea Selatan) dan Elena Bertocchi-Chiara Pellacani (Itali).

Sebanyak 12 pasangan terbaik pada pusingan awal mara ke final yang dijadual berlangsung pada 3.30 petang ini waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia). -Bernama

Artikel Berkaitan: