Nasihat legenda United untuk Pogba

Aksi Pogba ketika perlawanan jelajah pramusim menentang Perth Glory di Stadium Perth, Australia baru-baru ini. -Foto AP
Aksi Pogba ketika perlawanan jelajah pramusim menentang Perth Glory di Stadium Perth, Australia baru-baru ini. -Foto AP
A
A
A

LEGENDA Manchester United, Bryan Robson menasihatkan Paul Pogba supaya tidak melayan spekulasi mengenai perpindahannya ke kelab lain dan terus fokus menghadapi perlawanan pramusim dengan The Red Devils.

Menurutnya, pemain Perancis itu perlu terus setia dan memberikan segalanya kepada pasukan selagi belum ada sebarang kata putus daripada kelab mengenai perpindahannya.

"Pogba masih pemain United dan masih mempunyai kontrak, jadi dia perlu memberikan segalanya untuk kelab dan penyokong. Spekulasi tetap ada kerana dia pemain bintang, tetapi jangan layan kerana ia akan memusnahkan karier anda.

"Jika kelab sudah buat keputusan untuk melepaskannya, maka dia boleh membuat keputusan. Ketika ini, setahu saya masih belum ada sebarang kata putus daripada pengurusan United," katanya.

Masa depan Pogba di Old Trafford masih menjadi tanda tanya selepas ejennya, Mino Raiola menyatakan sedang dalam proses menguruskan perpindahan pemain itu.

Raiola juga menegaskan Pogba sendiri menyatakan hasrat untuk berpindah dengan Real Madrid dan Juventus menjadi destinasi utama pemain berusia 26 tahun itu.

Namun, sehingga waktu ini, belum ada tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan dan Pogba masih bersama United dalam jelajah pramusim ke Australia, Singapura, dan China.

Kata Robson lagi, Pogba juga perlu menghormati kontraknya yang masih berbaki sehingga tahun 2021 selain khidmatnya masih diperlukan di jentera tengah pasukan itu.

Artikel Berkaitan:

"Jangan hirau apa yang diperkatakan orang ramai mahupun penyokong, Tugas anda adalah bermain dan cuba membawa pasukan meraih kejayaan," katanya.