Hayati tugas bomba sempena Hari Bomba Sedunia

Nor Hisham Mohamad
Nor Hisham Mohamad
A
A
A

KUANTAN - Sambutan Hari Bomba Sedunia tahun ini diberi sentuhan kerohanian dengan menerapkan elemen penghayatan tugas kebombaan menerusi pembikinan teks khutbah Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, tidak dinafikan salah satu daripada perkara asas dalam bidang kebombaan adalah kemahiran dan kompetensi yang cukup bagi membolehkan anggotanya responsif terhadap insiden.

Namun katanya, JBPM juga perlu menerapkan elemen kerohanian baik kepada anggotanya, juga masyarakat sekeliling.

"Justeru, sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 JBPM Pahang akan adakan doa selamat semasa perbarisan pagi, bacaan Yasin yang akan dihadiahkan kepada sahabat yang telah pergi serta bacaan khutbah dan penyediaan teks khutbah Jumaat bagi berkongsi dengan orang ramai mengenai tugas dan cabaran kebombaan.

"Ini secara tidak langsung memberikan ketenangan kepada anggota bomba dan dekat diri dengan Tuhan kerana kita buat kerja berisiko. Masyarakat yang turut sama sama mendengar khutbah itu juga bakal beroleh pendedahan yang jelas mengenai tugas bomba," katanya.

Nor Hisham (kanan) ketika ditemubual Sinar Harian di Ibu Pejabat JBPM Pahang
Nor Hisham (kanan) ketika ditemubual Sinar Harian di Ibu Pejabat JBPM Pahang

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di ibu pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Sani Harul dan Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Anuar Hassan.

Artikel Berkaitan:

Nor Hisham berkata, bagi merealisasikan perkara itu, teks khutbah yang disediakan JBPM terlebih dahulu dirujuk kepada jabatan ugama negeri dan daerah masing-masing.

"Kita sediakan kerangka utama berkaitan bomba dan setiap jabatan ugama Islam negeri akan sunting sebelum dibenarkan dibaca semua masjid solat Jumaat.

"Ketika saya berkhidmat di Sarawak dahulu, bukan sahaja kita menyampaikan maklumat kebombaan menerusi masjid, bahkan juga di tempat ibadah agama lain untuk memastikan penghayatan di setiap lapisan dan latar belakang masyarakat, tercapai secara holistik," katanya.

Bagi sambutan peringkat kebangsaan satu pameran dan persembahan kebombaan akan diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur yang dijangka akan dirasmikan Yang Dipertuan Agong, 20 Julai ini.