Janda anak tiga lalok ditahan ugut bunuh ibu

A
A

KEPALA BATAS - Seorang janda anak tiga dicekup selepas mengamuk dan mengugut bunuh ibunya sendiri di sebuah rumah di Permatang Buloh di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 31 tahun itu ditahan pada jam 1 pagi selepas mengugut bunuh ibunya yang berusia 73 tahun.

Menurutnya, polis dimaklumkan kejadian itu oleh anak saudara suspek berusia 21 tahun selepas mendapat panggilan dari bapa saudaranya bahawa suspek mengamuk di rumahnya pada jam 11.20 malam.

"Suspek dikatakan memegang pisau dan mengugut bunuh ibunya selain mahu membakar rumah. Anak saudaranya mendakwa, sebelum ini, suspek didapati meracau, ketawa, senyum serta bercakap sendirian. Suspek disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

"Hasil siasatan mendapati, kejadian itu bukan kali pertama yang mana, suspek dikatakan kerap mengamuk di rumahnya berpunca daripada pengambilan dadah. Ketika kejadian, abang bersama tiga anak suspek berusia 5, 7 dan 9 tahun berada di rumah tersebut. Ketiga-tiga anak suspek dijaga oleh mangsa," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, abang suspek tinggal berasingan namun kerap ke rumah ibunya kerana bimbang dengan keselamatan mangsa dan tiga anak suspek.

"Suspek dan tiga anaknya tinggal bersama mangsa sejak suaminya meninggal dunia baru-baru ini. Ujian saringan air kencing ke atas suspek belum dapat dijalankan kerana dia enggan memberi kerjasama kerana masih di bawah pengaruh dadah.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan jenayah. Polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia