Khidmat rawatan lengkap buat jemaah haji di Madinah

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan dibantu 640 petugas Tabung Haji. - Foto Bernama
Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan dibantu 640 petugas Tabung Haji. - Foto Bernama
A
A
A

MADINAH - Jemaah haji di sini tidak perlu merasa terlalu gusar tentang kemudahan kesihatan buat mereka kerana Lembaga Tabung Haji (TH) bersama kerajaan Arab Saudi menyediakan kemudahan rawatan lengkap.

Pengarah Operasi (Perubatan) Madinah TH, Dr Hairul Izwan Abdul Rahman berkata, ibu pejabat TH Madinah di Dar Al-Jiffry di sini menempatkan pusat rawatan utama disokong dengan masing-masing satu klinik rawatan di tiga zon penginapan jemaah haji.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada semua jemaah haji atas apa jenis penyakit termasuk melibatkan pembedahan dan imbas magnetic resonance imaging (MRI).

"Pusat rawatan di Dar Al-Jiffry menyediakan 37 katil pesakit, ini termasuk bilik pemerhatian dan bilik rawatan kecemasan zon kuning dan zon merah. Tiga klinik rawatan kita di Hotel Al-Haram, Hotel Moveinpick, dan Rawda Al-Aqiq.

"Kita pun sudah mendapat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada Julai lepas. Kita bawa (dari Malaysia) pakar dan petugas dari pelbagai cabang perubatan,” katanya kepada Bernama.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu pada musim haji tahun ini dengan dibantu 640 petugas TH.

Dr Hairul Izwan, yang juga pakar kesihatan awam berkata, selain beliau TH membawa pakar perubatan dan pakar bius, selain ahli farmasi, ahli diet, ahli fisio, pegawai perubatan, jururawat, juru sinar-x dan juruteknologi makmal perubatan.

"Kita punyai kemudahan perubatan yang lengkap di sini, bagaimanapun pesakit yang perlu rawatan lebih serius kita akan hantar ke hospital Arab Saudi dan kita akan bersama jemaah di sana bagi membantu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pada masa ini pihaknya tidak menerima banyak kes masalah kesihatan, bagaimanapun kes yang diterima melibatkan kes kesihatan kecil seperti demam, batuk, selesema, kulit kering dan sakit lutut dalam kalangan jemaah haji.

Ditanya mengenai apa yang menarik beliau menabur bakti untuk jemaah haji di sini, Dr Hairul, yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Ipoh, Perak itu berkata, apa yang dilakukannya semuanya atas nama ibadah dan bertugas di sini memberikan pengalaman yang nyata amat berbeza berbanding di tanah air.

"Saya datang ke sini bermula sebagai pegawai perubatan pada tahun 2004, kemudian 2013, 2016, tahun lepas dan tahun ini. Sememangnya kemudahan perubatan dahulu amat berbeza berbanding sekarang. Ubat dan peralatan kesihatan dibawa lebih banyak, pakar dan petugas juga lebih ramai,” katanya. -Bernama