Cabaran Tok Mat Hasan

A
A

ENAM bulan selepas memegang jawatan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan penyerahan tugas-tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, sehingga satu tempoh yang diputuskan kelak.

Ramai yang terkejut kerana beliau melakukan perkara tersebut setelah muncul dalam wawancara secara langsung dengan Umno Online menerangkan satu persatu serangan-serangan terhadapnya.

Ahmad Zahid mengambil kesempatan menjelaskan dua perkara utama terbabit iaitu cadangan kerjasama dengan DAP dan Umno tiada hala tuju di bawah kepimpinannya. Kedua-dua isu ini dimainkan secara berangkai bagi menjustifikasikan usaha membawa keluar wakil rakyat Umno menyertai Bersatu.

Dalam wawancara tersebut, Ahmad Zahid dengan tegas menyatakan tiada rundingan dan hasrat untuk mengadakan hubungan dengan DAP, ia hanya membabitkan kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dalam tempoh dua tahun akan datang.

Penjelasan Ahmad Zahid bukanlah aneh. Ia sebenarnya sama seperti sesi penerangan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, iaitu Umno akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam masa dua tahun akan datang jika Tun Dr Mahathir Mohamad enggan melepaskan jawatan seperti dalam Manifesto Pakatan Harapan.

Nazri menyatakan Anwar sudah mendapatkan sokongan DAP dan parti Sabah dan Sarawak dan Umno hanya turut menyokong Anwar. Cuma cara Nazri menjawab soalan di beberapa tempat mungkin disalah tanggap sebagai bekerjasama dengan DAP.

Jika sesiapa yang belum faham sokongan Ahmad Zahid kepada Anwar bukanlah kerana sekadar atas prinsip sahabat atau mahu mencari kedudukan dalam kerajaan.

Sebaliknya ia hanyalah untuk menyelamatkan Umno dari berkubur.

Elit politik di negara ini tahu dan faham bahawa Dr Mahathir beriltizam mahu Umno dibubarkan dan ahlinya menyertai Bersatu. Slogan dan mantera beliau ialah Bersatu ganti Umno.

Ahmad Zahid tidak menolak apa-apa kerjasama politik, namun bukanlah dengan cara menghina dan mencerca Umno yang telah berpuluh tahun membangunkan negara ini dan menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam.

Berbanding Dr Mahathir yang secara terbuka melahirkan kebencian kepada Umno, Anwar tidak mempunyai dendam dengan Umno. Anwar juga seorang yang lebih demokratik dan terbuka. Justeru Ahmad Zahid berpandangan Umno hanya selamat sebagai parti politik jika Anwar menjadi perdana menteri.

Ahmad Zahid seorang yang realis. Daripada membenarkan musuh-musuh luar melemahkan parti menggunakan faktor dalaman, beliau memilih untuk mengorbankan dirinya terlebih dahulu.

Dengan pengumuman penyerahan tugas-tugas presiden kepada timbalannya, beliau menstabilkan parti buat seketika dan menutup alasan untuk wakil rakyat keluar parti.

Tugas dan tanggungjawab Mohamad Hasan atau lebih popular dengan sebutan Tok Mat Hasan sangat besar sekarang. Daripada seorang pemimpin peringkat negeri tiba-tiba menjadi pemimpin nombor dua parti di peringkat pusat enam bulan lalu.

Belum pun sempat belunjur sudah disuruh berlari. Beliau kini diberi amanah menguruskan parti terbesar negara tanpa kuasa dan dana. Tok Mat perlu mencari jalan menguruskan Umno tanpa dana sedia ada.

Akaun Umno telah dibekukan, aset-aset Umno yang lain hidup segan mati tidak mahu. Tentulah keutamaan beliau ialah memastikan pekerja Umno mendapat gaji setiap hujung bulan.

Beliau juga perlu berhadapan dengan sikap tidak sabar sebahagian wakil rakyat Umno dan broker-broker politik dalam Umno yang sedang menyelamatkan leher sendiri dari dijerut kerajaan hari ini. Mereka berlumba-lumba menyelamatkan diri berbanding menyelamatkan parti.

Tok Mat Hasan bukan sahaja perlu memenuhi aspirasi ahli Umno yang mempunyai pelbagai pandangan tetapi juga sikap sebahagian pemimpin Umno yang masih tidak berubah.

Wakil rakyat Umno jangan nanti jadi seperti peribahasa Melayu, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Apa salah kita bersabar dan beristiqamah dengan perjuangan. Kepada ahli Umno ingatlah pesanan Tok Mat Hasan, “jika tidak boleh jadi garam sekalipun, janganlah kita menjadi langau.”

Garam digunakan oleh masyarakat Melayu untuk memulihkan pelbagai perkara. Kita menggunakan garam bagi memulihkan ikan hampir busuk kepada ikan masin yang sedap. Air garam juga sering digunakan sebagai kaedah alternatif melegakan sakit gigi, ulser mulut dan mencuci luka.

Manakala langau adalah sejenis serangga yang mempercepatkan proses kerosakan makanan atau menambah kerosakan di tempat luka.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.