Keadilan dalam neraca politik

A
A
A

BAGI rakyat yang bukan penyokong setia Pakatan Harapan (PH), negara ini dianggap berada dalam keadaan kesesatan kepimpinan (mislead) dan salah urus (misdirection) yang serius baik dalam pengurusan ekonomi mahupun keadilan negara.

Sejak berdekad lalu parti-parti dalam PH seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berjuang menjanjikan sistem keadilan dan kehakiman yang lebih telus.

Sejarah panjang ini sebahagiannya bermula daripada isu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas sehinggalah ke mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perbicaraan kes Liwat 1 dan 2 Anwar Ibrahim, bukan sahaja bukti dan saksi yang menjadi isu, tetapi juga cara pengendalian kes oleh Pejabat Peguam Negara dan kerajaan dikritik dan diawasi begitu ketat oleh Majlis Peguam, pelbagai badan bukan kerajaan dan para aktivis masyarakat madani.

Apabila PH yang didokongi kuat oleh pihak-pihak yang bertujuan 'memurnikan keadilan negara' ini menang, kita mengharapkan proses keadilan negara menjadi lebih matang, adil, telus dan jujur.

Namun ini tidak dapat dilihat sepanjang harapan setahun lalu. Siasatan, pendedahan, pendakwaan dan pengguguran kes dilakukan secara semberono dan berdasarkan kecenderungan politik. Rasanya tidak perlu penulis mengulangi semula kes-kes yang membabitkan pemimpin kerajaan hari ini yang telah digugurkan, disenyapkan, dilambatkan dan dilupakan.

Dua isu terbaharu mengesahkan syak wasangka bahawa proses keadilan negara sudah menjadi sebahagian sarkas politik negara.

Pertamanya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian entiti ini merupakan syarikat pembekal barangan dan perkhidmatan yang melaksanakan permintaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai tuduhan penyelewengan wang 1MDB atau apa-apa dana.

Isu penyelewengan dana 1MDB ini hanya ditimbulkan pada 2015 iaitu lama setelah akaun Najib yang didakwa terkait itu ditutup. Dengan kata lain, pada ketika mereka melaksanakan urusniaga tersebut tidak pernah timbul isu penyelewengan ini.Pelucutan hak

Dalam kes pelucutan hak juga, negara seperti Amerika Syarikat (AS) tidak pernah merampas wang daripada syarikat perniagaan yang mengadakan transaksi dengan individu terkait.

Misalnya dalam kes perlucutan hak berkaitan dana 1MDB, Pejabat Peguam Negara (AS) hanya merampas barangan yang telah dibeli atau perniagaan yang tertuduh mempunyai kepentingan dan keuntungan.

Apabila kerajaan AS mendakwa tertuduh membeli pangsapuri, barang kemas dan kapal layar, mereka tidak membeku akaun atau mendakwa penjual dan penyedia perkhidmatan yang tulen.

Sebaliknya mereka merampas dan membekukan entiti perniagaan yang secara jelas menguntungkan pihak yang didakwa mengubah wang haram.

Ini asas keadilan yang sangat mudah tetapi gagal difahami oleh ahli politik dan Pejabat Peguam Negara yang 'mabuk darah' politik.

Mereka menyebabkan banyak entiti perniagaan berhadapan masalah akibat pembekuan akaun dan pendakwaan.

Perkara kedua yang sangat berbahaya ialah tindakan kerajaan menggunakan saluran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menekan dan menindas Najib.

Menurut laporan media, LHDN akan mendakwa Najib dengan tuduhan mengelak cukai dan menuntut RM1.6 bilion termasuk denda daripada akaun AmBank beliau yang berjumlah RM4 bilion ringgit (AS$980.3 juta).

Mengapa LHDN menuntut cukai seolah-olah ia pendapatan yang sah dari sudut undang-undang sedangkan kerajaan yang sama mendakwa ia adalah pendapatan jenayah?

LHDN tidak menuntut cukai daripada kekayaan pengedar dadah atau mana-mana kegiatan jenayah lain termasuk penyelewengan dan pengubahan wang haram kerana pendapatan daripada kegiatan jenayah bukan sesuatu yang sah untuk dikenakan cukai oleh kerajaan.

Tuntutan cukai ke atas akaun sama yang sedang berhadapan perbicaraan penyelewengan dan pengubahan wang haram merupakan penyalahgunaan proses perundangan yang serius bertujuan menghalang tertuduh mendapat keadilan sebenar.

Kerajaan harus membuat keputusan dana tersebut haram atau sah. Jika haram anda tidak boleh mengutip cukai. Jika sah anda tidak boleh mendakwa sebagai jenayah.

Anehnya segala jurucakap 'pemurnian proses keadilan negara' sebelum pilihan raya lalu sudah hilang ingatan dan suara sejak tertubuhnya kerajaan baharu ini.

* Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)