Orang dewasa ada hak mengundi

A
A

PADA 4 Julai 2019, kerajaan Malaysia melalui Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan bagi menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Ini adalah percubaan kedua kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Negara kita adalah minoriti berbanding negara-negara lain. Di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan Iran, umur layak mengundi adalah 18 tahun.

Di Asia Tenggara, pengundi yang sudah berumur 18 tahun boleh mengundi di Thailand, Filipina dan Indonesia.

Malahan, sudahpun bermula perbincangan di beberapa negara untuk menurunkan umur layak mengundi kepada 16 tahun.

Hak mengundi adalah hak yang suci dalam mana-mana negara demokratik. Menurut Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan, seorang warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun, bermastautin di sesuatu kawasan pilihan raya pada tarikh kelayakan dan sudah didaftarkan dalam daftar pemilih, layak dan berhak mengundi dalam mana-mana pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di Malaysia, umur dewasa adalah 18 tahun. Individu yang mencapai umur tersebut akan dilihat sebagai seorang dewasa di sisi undang-undang. Dia bukan lagi seorang kanak-kanak.

Dia boleh menandatangani perjanjian dan akan dibicarakan sebagai seorang dewasa. Seorang yang berumur 18 tahun sudah boleh berkahwin dan mendapat lesen memandu tetapi dia tidak boleh mengundi.

Ada hujah yang mengatakan bahawa seseorang yang bawah umur 21 tahun tidak cukup matang untuk mengundi. Namun demikian, kematangan seseorang tidak ditentukan mengikut umur.

Apatah lagi kematangan politik. Kematangan politik datang dengan pendidikan politik, bukannya dengan umur. Pengundi yang mempunyai akses kepada maklumat mempunyai kematangan politik yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mendapat akses tersebut.

Pendidikan politik adalah penting tetapi ia untuk pengundi pada setiap lapisan umur dan masyarakat. Sememangnya kerajaan wajar meningkatkan usaha pendidikan pengundi dan kesedaran perlembagaan.

Di samping itu, kematangan seseorang tidak pernah menjadi syarat untuk melibatkan diri dalam pilihan raya. Hak untuk mengundi bukanlah bergantung kepada sama ada pengundi mempunyai kematangan politik atau tidak.

Bayangkan sekiranya hak untuk bersuara hanya dibenarkan untuk mereka yang sudah ‘matang’. Bayangkan sekiranya hak untuk bersuara hanya boleh diamalkan oleh mereka yang sudah berumur 21 tahun sahaja. Sudah tentu ini tidak munasabah kerana hak untuk bersuara itu adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Samalah dengan hak untuk mengundi. Seseorang yang sudah dewasa wajar diberikan hak untuk menentukan siapa yang mewakili kawasannya di Parlimen dan DUN.

Tidak ada sebab mengapa anak muda yang belum berumur 21 tahun dipinggirkan daripada proses politik tanah air.

Pada tahun 1971, ahli politik veteran, Lim Kit Siang dalam ucapan penggulungannya di Parlimen telah mencadangkan supaya umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Beliau juga mencadangkan penubuhan suatu Jawatankuasa Pelbagai Parti (All Party Committee) untuk mengkaji cadangan tersebut. Akan tetapi, cadangan itu tidak diendahkan pada masa itu.

Penulis berharap Parlimen akan mencipta sejarah dan meluluskan RUU untuk menurunkan umur layak mengundi tersebut.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.