Pelajar sekarang selamba hisap vape secara terbuka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah sekarang ini memang amat membimbangkan. Baru-baru ini tular di media sosial seorang murid perempuan yang memakai baju sukan sekolah menghisap vape tanpa segan silu di tempat awam.

Dia mungkin masih bersekolah rendah tetapi sudah memiliki vape sendiri. Ibu bapanya mungkin tidak tahu anak mereka memiliki vape, malah mereka mungkin tidak tahu tabiat mahal anak mereka itu.

Vape mudah disembunyi atau dibawa ke mana-mana kerana saiznya yang kecil. Vape boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan ukuran. Nanostix, misalnya, hanya bersaiz pen.

Merak Jalanan diberitahu, ada yang sanggup tipu ibu bapa kononnya hendak membeli buku. Ada juga yang sanggup berhabis antara RM50 hingga RM60 sebulan untuk membeli vape.

Mungkin ada yang beranggapan menghisap vape tidak berbahaya tetapi sebenarnya ia mempunyai kesan dan mudarat yang hampir sama dengan rokok kerana ia turut mengandungi nikotin.

Merak Jalanan terkenang semasa zaman sekolah dahulu. Ada pelajar curi-curi hisap rokok di tandas sekolah. Ketika itu sebatang rokok jenama terkenal boleh dibeli dengan harga 15 sen.

Kadang-kadang sebatang rokok dihisap ramai-ramai. Bila kena tangkap dengan cikgu, kena sebat depan perhimpunan. Malu tak terkata. Menyesal sekejap tetapi selepas itu buat balik.

Zaman sekarang guru tidak boleh sebarangan menghukum. Nanti masuk surat khabar. Lebih teruk ada guru yang kena saman dengan ibu bapa. Pelajar dulu sangat takut kepada guru-guru terutamanya guru besar dan guru yang bawa rotan.

Artikel Berkaitan:

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan vape adalah haram. Namun bagaimana dengan kesan pengharaman itu hari ini?

Lebih membingungkan adalah bagaimana vape boleh dibeli dengan begitu mudah oleh pelajar sekolah dan dijual secara berleluasa seolah-olah tanpa pemantauan pihak berwajib?