Dah macam taman tema air

128551
128551
A
A
A

PONTIAN - Seperti taman tema air. Begitulah gambaran sewaktu fenomena air pasang besar di Taman Negara Johor Tanjung Piai kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Pengunjung terutama kanak-kanak mengambil kesempatan bermain air deras yang melimpah di halaman Dataran Pintu Masuk.

Tidak kurang juga hanya memerhatikan fenomena air pasang besar yang cukup unik dan hanya berlaku sekali dalam tempoh setahun itu.

Pembantu Hidupan Liar Perbadanan Taman Negara Johor, Ismail Sairan berkata, fenomena air pasang besar di Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Taman Negara Johor Pulau Kukup dijangka berlaku selama lima hari sejak semalam.

EARSPACE
EARSPACE

Katanya, air pasang besar akan melimpah ke kawasan taman negara itu selama kira-kira dua jam bermula pada kira-kira jam 11 pagi.

Malah tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung yang datang bermandi-manda di kawasan Dataran Pintu Masuk dalam tempoh tersebut.

“Bermula pada hari ini (semalam), fenomena air pasang akan berlaku di taman negara ini dan Pulau Kukup dengan jangkaan ketinggian air 3.5 meter.

Artikel Berkaitan:

“Jangkaan ketinggian air pasang pada hari esok (hari ini) 3.6 meter, diikuti pada 25 Disember (3.6 meter), 26 Disember ( 3.5 meter) dan 27 Disember setinggi 3.4 meter,” katanya.

Jelasnya, keadaan air melimpah yang membolehkan orang ramai bermandi-manda hanya berlaku di Taman Negara Johor Tanjung Piai.

“Di di sini, ada kawasan lapang iaitu Dataran Pintu Masuk yang menyebabkan air melimpah dan berkumpul.

“Bagi tujuan keselamatan, lawatan ke Taman Negara Johor Tanjung Piai ditutup dalam tempoh berlakunya air pasang.

“Namun di Taman Negara Johor Pulau Kukup, lawatan masih dibuka pada orang ramai kerana laluan pejalan kaki di pulau itu agak tinggi,” katanya.

Menurut beliau, seramai 20 kakitangan taman negara ditugaskan memantau keselamatan pengunjung sewaktu berlakunya fenomena air pasang besar.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam turut membantu memandangkan jumlah pengunjung sewaktu fenomena air pasang besar agak ramai.

“Setiap kali air pasang besar berlaku, jumlah pengunjung memang ramai terutama kanak-kanak dan penduduk tempatan yang tidak melepaskan peluang untuk bermandi manda,” katanya.

Anjur pameran hutan paya bakau

Merasakan pentingnya memupuk kesedaran memulihara dan menjaga hutan paya bakau, satu mengenainya diadakan sepanjang tempoh fenomena air pasang besar berlaku.

Menurut Ismail, pameran di Kompleks Pelawat Taman Negara Johor Tanjung Piai ini tidak terjejas dengan fenomena air pasang yang berlaku, kerana kawasan itu terletak agak tinggi berbanding Dataran Pintu Masuk.

Katanya, tidak ramai yang mengambil peduli tentang hutan paya bakau disebabkan kurangnya pendedahan dan pemahaman dalam diri mereka.

Justeru, pameran yang diadakan ini dapat memberi pendedahan tentang hutan paya bakau sebagai pemampan yang sangat penting dalam ekosistem alam semula jadi.

“Ramai kanak-kanak dan golongan muda yang datang bermandi manda sewaktu fenomena air pasang besar berlaku.

“Pihak pengurusan melihat perlu adanya satu usaha untuk memupuk semangat cintakan alam sekitar dan mengambil tahu tentang hutan paya bakau dalam kalangan generasi muda.

“Oleh itu, kita adakan pameran ini selama lima hari sehingga berakhirnya fenomena air pasang. Bukan sahaja dapat bermandi manda dan berseronok tetapi mereka yang datang dapat ilmu pengetahuan," katanya.