Laporan forensik warga Nigeria diketahui dalam sehari dua: KP Imigresen

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan laporan bedah siasat lelaki warga Nigeria yang meninggal dunia dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dijangka diperoleh dalam sehari dua.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, punca sebenar kematian Thomas Orhions Ewansiha akan diketahui melalui laporan bedah siasat yang dilakukan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati warga Nigeria itu meninggal dunia bukan disebabkan dipukul atau kekerasan fizikal.

“Imigresen juga sudah mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Nigeria termasuk 22 wakil kedutaan negara lain pada Jumaat lalu bagi menerangkan mengenai kejadian yang berlaku baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Imigresen di Jalan Silang, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Imigresen nafi tahan warga Nigeria secara tidak sah

Pelajar Nigeria mati dalam tahanan Imigresen

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu media melaporkan, warga Nigeria terbabit yang juga pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta meninggal dunia selepas diserang sawan ketika sedang tidur di Depoh Imigresen Bukit Jalil.

Khairul berkata, ketika dalam tahanan,tahanan itu dilayan mengikut prosedur operasi standard (SOP) menguruskan tahanan oleh semua pegawai Imigresen bertugas di Depoh Imigresen Bukit Jalil.

“Pada waktu kejadian lebih kurang jam 12.10 tengah malam 9 Julai lalu, rawatan awal diberikan pasukan HUKM kepada mangsa mengikut SOP sedia ada.

“Pada jam 12.30 tengah malam mangsa telah meninggal dunia dan dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan laporan polis juga sudah dibuat,” katanya.