Mampukah PH bertahan lama

A
A

SEJARAH gabungan dan kerjasama strategik antara parti-parti pembangkang dalam menumbangkan BN telah lama berlaku.

Ia bermula dengan kerjasama strategik tidak rasmi yang berlaku dalam PRU 1969 antara Pas dan DAP yang berakhir dengan tragedi 13 Mei.

Sejak insiden tersebut, kerjasama strategik antara parti-parti pembangkang dijadikan sandaran sebagai satu alternatif dalam menumbangkan BN sebagai parti pemerintah kemudian hari, walaupun kerjasama strategik ini terhenti seketika sejak 1970 hinggalah 1988.

Tahun 1988 cukup bersejarah dengan terbentuknya Parti Semangat 46 apabila kumpulan B kalah dalam pemilihan Umno. Terbubarnya Umno lama sehingga terkeluarlah Tengku Razaleigh bersama ahli-ahli kumpulan B yang menubuhkan Semangat 46.

Seterusnya, sebuah gabungan kerjasama strategik antara parti-parti pembangkang yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dianggotai Pas, Semangat 46, Hamim, Berjasa dan Kimma dengan DAP dalam PRU 1990 dan PRU 1995. Pembubaran APU berlaku apabila Semangat 46 turut dibubarkan dan keluarnya Kimma.

Bermula tahun 1998, tertubuhnya Barisan Alternatif (BA) yang menggabungkan PKR, Pas, DAP dan MPP (Parti Rakyat Malaysia). BA menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam PRU 1999. Akhirnya BA dibubarkan pada tahun 2001.

Hanya bermula PRU 2008, Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan bagi melawan dominasi BN dalam PRU 2004. PR dianggotai oleh PKR, Pas dan DAP dan berjaya menafikan dua pertiga majoriti dalam Dewan Rakyat. Beberapa negeri telah jatuh ke tangan PR iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah.

Kemenangan PR ini bagaimanapun tidak bertahan lama apabila PR dibubarkan pada tahun 2015. Terbubarnya PR ini disebabkan kegagalan kerjasama antara DAP dan Pas mengenai isu negara Islam. Akibatnya, lahirlah Parti Amanah Negara yang kemudian bergabung dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Harapan (PH).

Kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM-Bersatu) dan Parti Warisan Sabah telah berjaya mengukuhkan kedudukan PH. Hasilannya PH berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah dalam Dewan Rakyat iaitu 124 kerusi Parlimen.

Bermula 9 Mei 2018 sejarah baharu telah melakar dan mewarnai politik Malaysia. Walaupun berbagai halangan dan cabaran terpaksa diharungi sehingga kini PH masih dilihat kukuh. Kekukuhan PH ini disebabkan ketokohan dan peranan yang dimainkan oleh kepimpinan Tun Dr Mahathir.

Kepimpinan Tun yang menggunakan elemen Mahathirisma berjaya menyatukan dan meyakinkan bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli politik PH tetapi juga ahli-ahli politik Umno.

Ini menyebabkan Bersatu semakin kukuh berbanding parti-parti lain. PKR yang dilihat kurang berkesan dalam memimpin PH kerana percaturan politik dalaman PKR sentiasa berlaku.

Malahan dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR yang berlaku saat ini juga dicemari dengan insiden yang menimbulkan satu persepsi tidak baik dalam kalangan rakyat.

Peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai Naib Presiden PKR dan pengosongan kerusi Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang turut menjadi tanda tanya mengenai situasi terkini dalam PKR.

Apabila parti yang sentiasa bergolak walaupun mendapat kerusi terbanyak dalam Parlimen Dewan Rakyat akan kehilangan pengaruh dalam PH secara tidak langsung. Sedikit sebanyak turut menggugat kepercayaan rakyat apabila tiba soal pengemudi kepimpinan negara nanti.

Kepimpinan DAP dalam PH masih lagi berada dalam keadaan baik tetapi tidaklah sebaik seperti sebelum PRU14. Ini boleh dilihat apabila terdapat serangan demi serangan yang bukan sahaja datang dari BN atau Pas. Tetapi juga terdapat bantahan dan serangan secara senyap dalam kalangan ahli-ahli DAP ke atas kepimpinan DAP menangani isu-isu tertentu.

Contohnya isu gaji minimum RM1,800 dan pemansuhan 6 akta yang bersifat drakonian seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH. Seterusnya isu tragedi Bukit Kukus yang dikaitkan dengan alam sekitar.

Jika MCA, MIC dan Gerakan mampu merealisasikan satu pakatan dalam menghadapi DAP dalam PRU15 nanti, adakah kedudukan DAP seramai 42 ahli Parlimen mampu dipertahankan atau tidak turut menjadi perhatian sekiranya PRU15 diadakan lebih awal.

Kemasukan mantan ahli-ahli Umno ke dalam Bersatu memberikan satu implikasi pro dan kontra. Jika benar berlakunya penghijrahan ahli-ahli Parlimen Umno ke dalam PH boleh membantu penguasaan dua pertiga Dewan Rakyat. Tetapi kontranya jika semuanya masuk ke dalam Bersatu. Ini menyebabkan Bersatu dilihat mengukuh kedudukannya dalam komponen PH.

Persoalan, mampukah Anwar menjadi perdana menteri kelapan seperti yang dijanjikan dalam PRU14 melihat kepada situasi yang akan berlaku nanti. Ketidakseimbangan kuasa dan kedudukan kerusi Parlimen mampu menggugat keharmonian dan perpaduan antara komponen parti PH.

Mungkin hari ini, kepimpinan Tun Dr Mahathir masih ada dan kuasa kawalan ke atas PH masih boleh dibincangkan. Bagaimana pula apabila Tun Dr Mahathir meninggalkan PH satu hari nanti. Adakah PH masih utuh selepas ketiadaan Tun Dr Mahathir?

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.