X

Kindly register in order to view this article
!

Bot pukat tunda ceroboh kawasan larangan ditahan

Gambar hiasan
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah bot pukat tunda Kelas C ditahan apabila didapati mencerobohi kawasan dan menjalankan aktiviti perikanan nelayan pantai di kawasan yang tidak dibenarkan berdekatan Tanjung Siang, Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata bot itu, berserta seorang tekong warga tempatan dan empat awak-awak warga Indonesia, kesemua lelaki, ditahan pada kedudukan 7.8 batu nautika dari Tanjung Siang.

"Bot ronda PPM yang bertindak atas maklumat dan aduan awam itu, telah berjaya menahan bot pukat tunda tersebut hari ini pada jam 4 pagi ketika bot itu dipercayai sedang menunda ikan di kawasan terbabit.

"Kesemua yang ditahan ketika mengendalikan bot itu, berusia antara 26 dan 58 tahun, turut ditahan bersama sejumlah lebih kurang 500 kilogram ikan pelbagai jenis,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tekong dan kru telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen, beroperasi kurang dari kawasan yang dibenarkan.

Bot dan kesemua yang ditahan kemudiannya diiringi ke Jeti Jabatan Perikanan Tanjung Sedili dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Masyarakat dinasihatkan untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak PPM melalui talian 07-2372221/07-2372222, tentang aktiviti perikanan haram.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!