UniSZA jadi universiti rujukan manuskrip digital pertama

Hassan Basri (kanan) dan Azemi (kiri) bertukar dokumen selepas majlis menandatangani MOU antara UniSZA dan Arkib Negara Malaysia hari ini.
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di Malaysia bekerjasama dengan Arkib Negara Malaysia untuk menjalankan penyelidikan dan berkongsi kepakaran dalam bidang pendigitalan manuskrip lama.

Naib Canselornya, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, sebagai permulaan, UniSZA akan menerima 35,000 naskhah manuskrip lama dibeli dari Universiti Durham, United Kingdom pada hujung bulan ini.

Menurutnya, manuskrip lama diterima itu berkaitan dengan Kesultanan Melayu dan Islam sebelum era kemerdekaan negara.

"Seterusnya UniSZA akan menubuhkan Pusat Kajian Manuskrip secara dalam talian dan menjadi tempat rujukan untuk pelbagai kajian manuskrip Islam yang terbesar di Asia Tenggara.

"Apabila manuskrip ini dihasilkan dalam bentuk digital, ia akan memberi capaian akses lebih mudah kepada sesiapa sahaja yang mahukan maklumat berkaitan.

"Ia sekali gus memartabatkan kepakaran tenaga pengajar dan penyelidik UniSZA dalam bidang dan teknologi maklumat ke peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara UniSZA dan Arkib Negara Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz berkata, kebanyakan dokumen manuskrip lama berada dalam simpanan Arkib Negara adalah dalam bentuk tulisan jawi lama.

"Di mana tidak ramai individu mempunyai kepakaran untuk menulis dan membacanya ketika ini. MOU ini akan memberi peluang kepada penyelidik UniSZA untuk membantu menyebarluaskan ilmu yang berkaitan.

"Kami juga mengalu-alukan kerjasama dengan universiti lain yang ingin memartabatkan semula manuskrip lama ini dengan kaedah mendigitalkannya agar boleh diakses dengan lebih mudah di mana sahaja," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia