'Bertindaklah sebagai presiden, bukan setiausaha politik'

Khairy (kanan) dan Mohamed Nazri pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas 2019 di Sauk, di sini hari ini.
A
A

KUALA KANGSAR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta bertindak seperti presiden kepada parti berkenaan, bukan setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peringatan itu diberikan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada Ahmad Zahid selepas tindakan beliau melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Menurut Khairy, beliau menyokong ucapan Mohamed Nazri pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas 2019 di Sauk, hari ini bahawa Ahmad Zahid perlu bertindak sebagai presiden dan bukan pegawai kepada Najib.

"Saya masih bersama UMNO, tak lari walaupun banyak tawaran saya terima. Tapi saya mohon pada pucuk pimpinan jangan buat keputusan tak masuk akal.

"Maksud kegilaan ini apabila kita mengulangi perkara yang sama dan kita harapkan keputusan yang baik, buat benda yang sama ambil balik pula Datuk Seri Najib.

"Bagi saya, saya setuju dengan Datuk Seri Nazri, presiden perlu bertindak sebagai presiden jangan seperti pegawai kepada Datuk Seri Najib kerana kita perlu buka satu lembaran baharu untuk UMNO," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat berkenaan di Kem PLKN Kota Lama, Sauk, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam ucapannya Khairy turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan parti itu sebagai perisai dalam menghadapi pertuduhan di mahkamah.

"Bukan saya tak hormat pada Datuk Seri Najib, dia yang angkat saya jadi menteri, dia yang lantik saya jadi menteri, mestilah sedikit sebanyak saya terhutang budi.

"Tapi saya merayu sangat janganlah gunakan parti untuk perisai diri sendiri kerana yang ada di bawah tidak berdosa. Jutaan ahli UMNO tidak berdosa," katanya.

Khairy turut menafikan tanggapan sebelum ini yang mengatakan bahawa beliau hanya mendiamkan diri dan mengikut telunjuk Najib dengan berkata 'yes bos' ketika berada dalam kabinet BN.

"Saya tak suka buka pekung di dada, tapi saya nak kena bagitahulah bukan sekali dua kali, banyak kali chief Nazri dengan saya bersuara dan tegur dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Malah saya jumpa 'one on one' dengan Datuk Seri Najib dua tiga kali secara peribadi, saya bagi tahu dia, Datuk Seri kalau isu 1MDB ini tak selesai, kalau kita tak heret Jho Low, ini ada kesan yang teruk pada kita dalam PRU akan datang," katanya.

Tambahnya, dia berharap agar Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO tidak mengulangi kesilapan presiden sebelum ini yang mengetepikan teguran.

"Saya harap Datuk Seri Zahid yang memang sah dipilih sebagai presiden dan kembali bertugas, janganlah ulangi kesilapan lepas.

"Bila ada teguran jangan diketepikan. Bila ada ayat-ayat 'Yes Bos' itu sahaja menjadi halwa telinga, sebab kalau itulah budaya dalam UMNO, PRU15 tidak ada harapan kita kembali," katanya.