Ini permainan Tun Mahathir?

Perkongsian yang dimuat naik di laman sosial miliknya, semalam.
Perkongsian yang dimuat naik di laman sosial miliknya, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Umno mendakwa keberanian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak menteri lain meletakkan jawatan sebagai sebahagian permainan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, seorang menteri mendesak menteri lain meletakkan jawatan sememangnya pelik.

"Apabila menteri suruh menteri letak jawatan, mesti Syed Sadiq perasan dia lebih hebat dan berprestasi tinggi berbanding P.Waytha Moorthy (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

"Ini memang pelik sikit, apatah lagi Syed Saddiq daripada Bersatu suruh menteri daripada Hindraf (Badan Bertindak Hak Asasi Hindu) letak jawatan," katanya dalam status terkini di Facebook, semalam.

Sebelum ini, Armada menghantar memorandum mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan susulan kegagalan menteri yang memegang portfolio perpaduan itu meredakan ketegangan kaum dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield.

Mengulas lanjut, Mohd Puad mendakwa Syed Saddiq dan wartawan veteran, A.Kadir Jasin yang turut membuat desakan sama mendapat lampu hijau daripada Dr Mahathir.

"Kalau menteri suruh menteri letak jawatan itu bermakna dia menuduh Perdana Menteri tidak pandai kerana melantik orang yang tidak pandai dan 'half past six' sebagai menteri.

"Apakah ini game Tun M yang suruh Syed Sadiq supaya desak Waytha Moorthy letak jawatan?

Artikel Berkaitan:

"Lagi pun A Kadir Jasin juga mahu Waytha letak jawatan. Sebab itu Syed Saddiq kata dia tidak takut dikenakan tindakan atas desakannya itu. Pasti dia dapat lampu hijau daripada Tun M," katanya.

Tambahnya, "Mungkin Waytha Moorthy kata, kenapa dia sahaja dipersalahkan? Pada beliau polis yang salah. Oleh kerana polis di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri), apakah Waytha Moorthy berani mendesak supaya Muhyiddin juga letak jawatan? Permainan Tun Mahathir masuk fasa III - tiada siapa yang selamat."

A.Kadir sebelum ini mendesak Waytha Moorthy melepaskan jawatan kerana telah hilang kelayakan menjaga perpaduan nasional.