X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor pertimbang naikkan kadar kompaun pembiakan aedes

Dr Mariah (tengah) menunjukkan contoh nyamuk aedes yang kepada murid sekolah yang hadir pada Program Mega Cari Dan Musnah Aedes Negeri Selangor Peringkat MPSJ 2019 di Taman Puchong Utama, di sini hari ini.
A
A

PUCHONG - Kerajaan Selangor tidak menolak cadangan mengubah polisi kompaun atas kesalahan pembiakan nyamuk aedes dalam usaha menangani peningkatan kes denggi.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kadar kompaun akan ditingkatkan susulan kesedaran awam mengenai pencegahan denggi masih rendah.

Menurutnya, cadangan itu adalah langkah terakhir yang akan diambil sekiranya program pencegahan yang dilaksanakan sebelum ini tidak menunjukkan perubahan.

"Kita ambil pendekatan didik dan pujuk dahulu, jika masih tiada perubahan barulah tindakan lebih tegas akan diambil.

"Sikap tidak ambil berat kebersihan kawasan sendiri ini memberikan kesan kepada orang lain sehingga ada antaranya hilang tempat bergantung selepas ketua keluarga meninggal dunia disebabkan denggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di dalam Majlis Pelancaran Program Mega Cari Dan Musnah Aedes Negeri Selangor Peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2019 di Taman Puchong Utama, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali dan Ahli Majlis Zon 15 MPSJ, Datuk Kamaruzaman Ibrahim.

Beliau berkata, sebanyak 37,263 kes positif denggi direkodkan sehingga 6 Julai lalu dan daerah Petaling mencatatkan jumlah yang tertinggi diikuti Hulu Langat, Gombak dan Klang.

"Statistik bagi kawasan MPSJ menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya apabila sebanyak 201 kes positif demam denggi dilaporkan di 17 kawasan hotspot dikenal pasti.

"Ops Cari dan Musnah Aedes adalah kaedah praktikal dalam mendidik masyarakat untuk mencegah denggi secara berterusan melalui aktiviti gotong-royong," katanya.

Dalam masa sama katanya, kaedah 'name and shame' iaitu menghebahkan nama lokasi yang mencatatkan kes denggi tertinggi diteruskan sebagai langkah makluman kepada orang awam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!