Jumpa akar umbi perjelaskan piagam perpaduan ummah

Tajuddin (kanan) bersalaman dengan Musa selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam pagi tadi.
Tajuddin (kanan) bersalaman dengan Musa selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam pagi tadi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - UMNO dan Pas akan mengadakan siri jelajah di setiap negeri bagi memberi penerangan kepada ahli akar umbi mengenai kerjasama yang akan dilakukan dalam piagam perpaduan ummah tidak lama lagi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, siri jelajah berkenaan akan dimulakan sebaik piagam berkenaan ditanda tangan kedua-dua pemimpin parti itu dalam masa terdekat.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, penerangan itu perlu agar ahli kedua-dua parti jelas dengan jalinan kerjasama yang akan dilalukan selain tidak timbul sebarang isu atau tanda tanya berhubung bentuk kerjasama sebenar perpaduan ummah.

"Sepatutnya piagam ini sudah dirumuskan pemimpin kedua-dua parti pada Rabu lalu, namun ditangguhkan disebabkan beberapa perubahan selain memberi masa kepada Pas yang baru selesai muktamar parti.

"Sebaik ia dimeterai, kita akan adakan siri jelajah di setiap negeri untuk memberi penerangan kepada akar umbi kedua-dua parti berhubung kandungan serta struktur yang terdapat di dalam piagam tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusuff.

Dalam pada itu menurutnya, piagam perpaduan ummah dijangka akan dilancarkan serentak dengan perhimpunan besar-besaran umat Islam dan orang Melayu tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Tajuddin, perhimpunan sejuta ummah yang akan diadakan itu sebagai simbolik kepada perpaduan ummah yang terjalin pada masa kini selain mahu menunjukkan kebangkitan orang Melayu di negara ini.