Arak tanpa alkohol: Jangan kelirukan umat Islam

Mujahid (kanan) menyantuni bakal jemaah haji Parlimen Parit Buntar yang bakal berangkat ke Mekah pada minggu hadapan.
Mujahid (kanan) menyantuni bakal jemaah haji Parlimen Parit Buntar yang bakal berangkat ke Mekah pada minggu hadapan.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Syarikat pengeluar minuman keras diminta tidak sesekali mengelirukan umat Islam dengan mengeluarkan produk minuman dan arak tanpa alkohol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan syarikat minuman keras mengeluarkan produk mengelirukan umat Islam adalah satu tindakan tidak baik.

Menurutnya, penggunaan terma arak tanpa alkohol amat mengelirukan, lebih-lebih lagi proses penghasilan minuman itu termasuk penyulingan air dibuat dalam kerangka menghasilkan arak beralkohol.

"Kita tahu ia syarikat arak, maka walaupun kata tiada alkohol, tetapi boleh menyebabkan umat Islam menganggap benda (minuman) itu mereka boleh gunakan (minum)," katanya.

Katanya selepas menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat meraikan 207 jemaah haji Parlimen Parit Buntar di Masjid Daerah Parit Buntar hari ini.

Mujahid berkata demikian selepas diminta mengulas promosi penjualan arak berlabel 'zero-alcohol’ keluaran sebuah syarikat minum keras di kedai serbaneka.

Justeru, beliau menasihati umat Islam supaya tidak mengambil atau menggunakan sebarang produk diragui status halalnya.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memuat naik penerangan mengenai isu tersebut bertajuk 'Alkohol dan Arak' di laman Facebooknya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Jakim, minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

Jakim memetik hukum haram itu berdasarkan sumber daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.