Pemandu lori ke tali gantung

Tertuduh, Azami dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh rakan sekampungnya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh, Azami dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh rakan sekampungnya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh rakan sekampungnya, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azami Mohamad,45, yang kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah menerusi keterangan tertuduh sepanjang prosiding berjalan.

Tertuduh yang juga seorang duda didakwa membunuh Rohadi Zakaria, 49, di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu, jam 6 petang pada 2 Oktober 2014.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Tertuduh didakwa cuba membunuh dengan melanggar Zakaria Taib, 48, menggunakan Proton Gen 2 di alamat, waktu dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh turut didakwa membuat laporan palsu di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Permaisuri, Setiu jam 6.29 petang, pada 2 Oktober 2014.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan itu, tertuduh mendakwa ditahan dua mangsa menggunakan parang dan terlanggar mangsa ketika cuba mengelak.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, enam bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 2 Oktober 2014.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Harshaan Zamani.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas dilanggar seorang lelaki dikenali gara-gara perselisihan faham mengenai penjualan lembu.

Sebelum kejadian itu, dua mangsa dikatakan bertengkar dengan suspek di sebuah kedai kopi.

Ketika dalam perjalanan pulang, suspek bertindak mengejar dan melanggar dua mangsa menggunakan kereta.

Rempuhan itu menyebabkan dua mangsa terpelanting ke tengah jalan dan suspek bergerak ke depan dengan membuat pusingan U sebelum sekali lagi merempuh dua mangsa dan terus melarikan diri.