Pemimpin, ahli UMNO usah bertelagah

Noorazley
Noorazley
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pemimpin dan ahli UMNO diingatkan tidak bertelagah secara terbuka hingga memberi kesan negatif terhadap parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Kuala Selangor, Noorazley Yahya berkata, sebagai sebuah parti besar dan matang, setiap perbezaan dalam UMNO perlu ditangani secara bijaksana supaya tidak mengguris hati pihak lain.

“Berbeza pendapat itu adalah satu rahmah dan perlu diraikan, tetapi janganlah perselisihan faham kita ini menguntungkan pihak lawan.

“Kita buat apa yang terbaik untuk UMNO, mana yang rasa negatif sebaiknya janganlah dibincangkan secara terbuka,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor semalam.

Sebelum ini, terdapat pelbagai reaksi dan pandangan mengenai pelantikan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat BN.

Antara individu yang mempertikaikan pelantikan Mohd Najib itu ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin.

Noorazley dalam pada itu, meminta pemuda UMNO menyemai budaya intelektual bagi menangani fitnah dan propaganda kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, sayap parti itu mestilah menjadi pembangkang berfakta dan sentiasa berilmu untuk mematahkan segala fitnah dibuat kerajaan hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Orang kata, kenalah ada isi (fakta) baru berani nak mendepani segala cabaran. Biar rakyat nampak dan mereka percaya dengan UMNO,” katanya.

Mengulas mengenai penubuhan 'Skuad Sabil', Noorazley memberitahu, pemuda bahagian itu menubuhkan badan sukarela bagi menjalankan aktiviti kebajikan masyarakat.

Katanya, pertubuhan itu bertujuan membantu masyarakat dilanda bencana dan menjaga keselamatan serta kesejahteraan para pemimpin dan peserta dalam perhimpunan besar.

"Skuad itu ditubuhkan dengan mencontohi badan sukarela Unit Amal PAS.

“Mereka bukan sahaja sekadar mendaftar keahlian tetapi diberikan latihan yang sepatutnya daripada jurulatih bertauliah.

“Dalam usaha hendak membantu masyarakat, perlu ada sedikit ilmu pengetahuan dalam menguruskan krisis,”katanya.