Seragamkan undang-undang jenayah syariah: Mujahid

Dr Mujahid Yusof. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Mujahid Yusof. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

Ketika ini, pelaksanaan undang-undang jenayah syariah berbeza-beza di setiap negeri. Bagi kesalahan yang sama, ada hukuman yang berbeza di negeri-negeri berlainan. Sedikit sebanyak ia menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam sendiri. Namun, kerajaan kini dalam usaha untuk menyeragamkan dan menyelaraskan undang-undang jenayah syariah di seluruh negara. Jika tiada halangan, ia dijangka dapat direalisasikan penghujung tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Siti Nursyahidah Abu Bakar dan jurufoto, Sharifudin Abdul Rahim bersama Mujahid bagi mengetahui lebih lanjut mengenai usaha tersebut.

Dr Mujahid Yusof. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Mujahid Yusof. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Apa kepentingan undang-undang jenayah syariah untuk diselaras dan diseragamkan?

MUJAHID: Adalah penting penyeragaman ini dilaksanakan atas beberapa sebab.

Pertama ialah keperluan untuk menunjukkan keadilan Islam. Kedua ialah untuk menunjukkan di sebalik kuasa-kuasa negeri itu, perlu ada satu yang seragam kerana ia melibatkan undang-undang jenayah syariah.

Sebagai contoh, hukuman untuk minum arak di Selangor dan Pahang adalah berbeza. Di Selangor, meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. Di Pahang, bagi kesalahan sama, dendanya lebih tinggi iaitu tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun. Negeri itu juga ada hukuman tidak lebih enam sebatan.

Artikel Berkaitan:

Maknanya, dari segi undang-undang, jenayahnya sama tetapi mengapa hukumannya berbeza?

Kita kaitkan perkara ini dengan undang-undang jenayah syariah Islam. Maka di atas keperluan itulah undang-undang Islam perlu dilihat seragam, selaras dan tiada interpretasi berlainan dalam satu negara. Ia satu rahmat yang memberi keadilan kepada umat Islam khususnya.

Kesedaran itu bukan baharu tetapi usaha sudah lama. Oleh kerana ia dilihat sebagai satu pelaksanaan, maka saya jadikan ini sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pentadbiran kerajaan.

Apa cabaran atau kekangan untuk melaksanakannya?

MUJAHID: Ia kembali kepada doktrin undang-undang kita iaitu doktrin Persekutuan di mana kuasa tertentu diberi kepada negeri-negeri.

Salah satunya ialah pentadbiran Islam yang duduk di bawah kuasa sultan dan raja-raja Melayu. Apabila nak diseragamkan, tidak semudah itu kerana kami di peringkat Persekutuan tiada kuasa untuk mengarahkan di peringkat negeri.

Kita amat memahami sistem ini yang diwarisi sejak sekian lama tetapi pendekatannya akan jadi lebih mudah dengan kita menyediakan road map. Melaluinya kita membuat libat urus, bermula dengan pihak negeri menyatakan hasrat dan kemudian kita ada satu usaha berunding dengan pemegang taruh di negeri-negeri termasuk majlis agama dan raja-raja sehingga ia dapat diterima secara konsensus barulah dibawa kepada satu penyeragaman.

Apabila penyeragaman itu dibuat di peringkat akta di Wilayah Persekutuan, maka pakej persetujuan itu diharapkan negeri-negeri akan buat pula.

Selain itu, prosesnya agak panjang di mana proses pertama kita kena memaklumkan kepada pihak yang paling utama iaitu Majlis Raja-Raja. Secara konseptualnya tiada masalah bagi raja-raja menerima dan mereka melihat ada kebaikannya. Cuma kita mesti libatkan pemegang taruh iaitu Majlis Agama Islam yang akan melapor kepada Majlis Raja-Raja.

Selepas itu, baru dibawa kepada exco dan seterusnya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diputuskan sebagai satu enakmen. Dengan harapan kita akan ada satu model terbaik untuk dijadikan penanda aras dan akan diikuti oleh negeri-negeri.

Walaupun agak rumit tetapi kita sasarkan road map ini akan membawa kepada persediaan untuk dibentangkan di Parlimen pada penghujung 2020 sebagai akta yang telah diharmonikan.

Dr Mujahid Yusof. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Mujahid Yusof. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Berapa peratus setakat ini perjalanan road map

MUJAHID: Sudah 40 peratus, yang pertamanya kita libatkan jawatankuasa sivil dan syarak untuk teliti dan cadangkan apa kandungannya.

Kedua, kita dah libat urus negeri-negeri di peringkat pegawai. Saya sendiri di peringkat menteri ada pertemuan dengan Exco-Exco Agama negeri. Lagi 60 peratus kita akan libatkan isu rundingan selanjutnya, turun ke negeri-negeri dan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Bagaimana jika ada pihak yang anggap penyeragaman ini sebagai campur tangan terhadap bidang kuasa raja-raja? MUJAHID: Selagi raja-raja Melayu setuju dan melihat ada kebaikan dalam penyeragaman itu, saya rasa tiada masalah.

Dengan syarat, prosedur ini dibuat tanpa membelakangkan raja-raja. Malah, ini juga yang menjadi keutamaan kita.

Saya nak tegaskan, semua ini tidak akan dibuat sehingga raja-raja bersetuju sebagai usaha membaiki undang-undang Islam di negara ini khususnya undang-undang jenayah syariah. Jadi, tidak timbul isu.

Model negeri mana yang akan menjadi pilihan?

MUJAHID: Kami tidak ada satu yang terbaik tetapi kita sedang kumpulkan. Contohnya, untuk jenayah musahaqah seperti kes di Terengganu, mungkin ini yang lebih baik.

Kerja kita adalah selaraskan dan bahagian undang-undang di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan buat homework untuk kaji model terbaik. Maknanya model itu bukan daripada satu negeri saja, tetapi kombinasi daripada peruntukan yang ada.

Difahamkan, kajian penghukuman di bawah undang-undang jenayah syariah sedang dilakukan agar kaedahnya bersifat memulihkan atau rehabilitatif.

Dr Mujahid Yusof. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Mujahid Yusof. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Boleh Datuk Seri jelaskan?

MUJAHID: Ini satu usaha yang bersesuaian juga dengan satu lagi falsafah yang sedang kita terapkan iaitu daripada hukuman kepada pemulihan. Termasuklah peruntukan melibatkan kuasa hakim-hakim syarie untuk menentukan hukuman dengan bentuk pemulihan.

Maknanya, kita beri ruang untuk bon berkelakuan baik, kerja-kerja sosial dan hukuman yang menyedarkan pesalah. Pemulihan itu maksudnya hakim akan menggunakan kebijaksanaannya untuk menilai kesalahan itu.

Misalnya, adakah ia kesalahan pertama atau kesalahan itu memudaratkan masyarakat sehingga tak mampu dihukum yang bersifat pemulihan. Atau adakah kesalahan itu berulang dan sudah dihukum banyak kali?

Jadi di sinilah maksudnya budi bicara hakim. Ketika ini, hakim tiada pilihan kerana hukuman hanya sebat, penjara dan denda. Dengan adanya konsep pemulihan ini, kita boleh gunakan kebijaksanaan hakim agar ada satu ruang berkelakuan baik dan kerja sosial dengan harapan mereka dapat dipulihkan.

Jangan pula salah anggap dengan konsep pemulihan ini kita akan lepaskan semua kesalahan. Tidak.

Apa harapan Datuk Seri mengenai penyeragaman undang-undang syariah ini?

MUJAHID: Harapan saya amatlah tinggi. Saya akan cuba ikut road map untuk sampai ke penghujung tahun 2020 atau mungkin lebih awal untuk dibentangkan di Parlimen.

Dengan harapan, apabila dibentang dan disokong di Parlimen maka negeri-negeri lain akan ikut. Sebab itu pentingnya penglibatan dengan pelbagai pihak bermula dari sekarang.